CAKAP tak serupa bikin – dalam kecamukan dunia menghadapi pelbagai sekatan pergerakan akibat pandemik COVID-19, ada sahaja individu resah yang tidak sanggup duduk diam di rumah.

Lebih dari itu, ada yang beriya-iya memberi nasihat agar perintah penjarakan sosial perlu dipatuhi, namun mereka sendiri bertindak sebaliknya.

Pada hujung minggu, Penasihat Kesihatan Scotland Dr Catherine Calderwood meletak jawatan setelah mengaku melanggar perintah penjarakan sosial di United Kingdom.

Dr Calderwood bukan doktor biasa – beliau penasihat kepada Ketua Menteri Scotland (First Minister) Nicola Sturgeon dan berkongsi pentas pada sesi penerangan COVID-19 setiap hari.

Beliau juga muncul dalam video menasihat warga Scotland mengamal penjarakan diri agar tidak melakukan sebarang perjalanan tidak perlu.

Malangnya, Dr Calderwood lalai, melanggar nasihatnya sendiri. Bukan sekali tetapi dua kali – beliau sekeluarga `balik kampung’ dari Edinburgh ke Fife, Scotland; perjalananan memakan masa lebih kurang satu jam.

Tindakan Dr Caldewood disedari orang ramai apabila gambar beliau sekeluarga terpampang dalam akhbar tempatan. Mengaku kesilapan beliau, dan menerima teguran polis, Dr Calderwood kini meletak jawatan.

Sementara itu, dua pemain bola speak Liga Perdana Inggeris juga didedah sebagai tidak menghiraukan nasihat mereka sendiri agar duduk diam di rumah.

Pada Selasa minggu lepas, pemain pertahanan Manchester City dan England Kyle Walker dilapor melayan dua wanita sepanjang malam minggu dan keesokan harinya, menasihati peminatnya agar tidak melanggar peraturan penjarakan sosial.

Minggu sebelumnya, kapten Aston Villa Jack Grealish ditemui dalam keadaan berlagak tidak senonoh selepas menghadiri satu pesta walaupun sebelum itu mengguna laman media sosial menasihati peminat duduk diam di rumah.

Kedua dua pemain berhadapan dengan tindakan disiplin kelab masing masing.