Tutup

Berita  | Dunia

Hong Kong mengundi: Ramai nanti reaksi China

Hong Kong mengundi: Ramai nanti reaksi China
Penyokong calon pro-demokrasi Angus Wong meraikan kejayaannya memenangi pilihan raya majlis tempatan di Hong Kong, 25 Nov, 2019. (Foto AP)
KEPUTUSAN awal pilihan raya tempatan jelas mencerminkan pendirian warga tempatan terhadap pendirian China berhubung bantahan rakyat Hong Kong yang berlarutan.

Rakyat Hong Kong yang keluar memilih pada hujung minggu lalu memberi petunjuk bahawa pembangkang yang menyokong tindakan protes yang berlarutan selama berbulan lamanya menerima undi terbanyak.

Akhbar South China Morning Post melaporkan, pembangkang memenangi 148 dari 163 kerusi yang dipertanding manakala calon pro-Beijing hanya memenangi 17 kerusi.

Pilihan raya wilayah kali ini disambut begitu hangat sekali dengan 71 peratus pengundi keluar membuang undi. Pada pilihan raya tempatan sebelum ini, hanya 1.47 juta pengundi keluar mengundi - kali ini angka mencecah 2.8 juta pengundi.
Hong Kong ada pilihan raya?

Setiap satu dari 18 daerah di Hong Kong mempunyai majlis tempatannya sendiri yang dipanggil 'district council'.
Penyokong pro-demokrasi bersorak gembira selepas ahli politik pro-Beijing Junius Ho kalah dalam pemilihan di Hong Kong, 25 Nov 2019. (Foto AP)

Peranan yang dikurnia kepada setiap majlis daerah hanyalah dalam bentuk 'menasihat'. Ahli majlis menjadi mata dan telinga kerajaan di peringkat tempatan, memberi maklumat tentang keperluan tempatan mengenai perkhidmatan seperti perumahan dan pengangkutan. Majlis juga memberi cadangan bagaimana dana awam perlu disalurkan.

Yang lebih menarik, 117 ahli menganggotai satu lagi majlis yang mempunyai suara menentukan siapa menjadi Ketua Eksekutif Hong Kong - jawatan yang kini disandang Carrie Lam.

Pemilihan diadakan setiap tiga tahun sekali. Bagi penggal 2020-23, sebanyak 452 dari 479 kerusi akan dipertanding melalui pilihan raya tempatan. Baki 27 kerusi diberi kepada wakil yang ditetapkan kerajaan mewakili kawasan luar bandar.

Dengan adanya pilihan raya, adakah Beijing masih mempunyai kuasa mutlak memerintah Hong Kong?

Di bawah Undang undang Asas (Basic Law), mahkamah Hong Kong bertanggung jawab menentukan tindakan kerajaan mematuhi perundangan.

Tetapi semua sedar, Parlimen China yang digelar Jawatankuasa Kongres Kebangsaan Rakyat (National People’s Congress Standing Committee) yang memegang kuasa menentukan interpretasi undang undang sebenarnya.

Penyokong pro-demokrasi bersorak gembira selepas ahli politik pro-Beijing Junius Ho kalah dalam pemilihan di Hong Kong, 25 Nov 2019. (Foto AP)

Perlantikan Ketua Eksekutif perlu mendapat kata putus dari China. Bermakna, proses pengundian yang sedang berjalan tidak membawa makna.

Segala kebebasan yang wujud sekarang ini akan berakhir pada 2047 apabila berakhirnya Satu Negara, Dua Sistem.

Antara isu yang menjadi punca bantahan kumpulan 'pro-demokrasi' Hong Kong adalah hak mengundi 'universal suffrage', di mana semua rakyat Hong Kong dikira layak menentukan siapa yang akan dilantik sebagai ketua eksekutif badan pentadbiran atau perundangan Hong Kong (Legislative Council).