Berita  | Dunia

Hospital kalis gempa bakal dibuka di Istanbul pada Februari

Hospital kalis gempa bakal dibuka di Istanbul pada Februari
Hospital Latihan dan Penyelidikan Okmeydani telah dirobohkan di bawah Projek Persediaan Kes Kecemasan dan Pengurangan Risiko Seismik Istanbul dan sebuah bangunan baharu telah dibina di tapak itu. Foto tasyapi.com
ANKARA: Satu fasiliti perubatan yang kalis gempa di Istanbul akan dibuka pada bulan Februari, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan seorang jurucakap.

Hospital Latihan dan Penyelidikan Okmeydani telah dirobohkan di bawah Projek Persediaan Kes Kecemasan dan Pengurangan Risiko Seismik Istanbul (ISMEP) dan sebuah bangunan baharu telah dibina di tapak itu.

Hospital itu menampilkan sejumlah 1,800 sistem pemencil pendulum ganda tiga yang akan membolehkan ia kekal beroperasi jika berlaku gempa bumi untuk memberikan bantuan perubatan yang diperlukan kepada mereka yang cedera.

Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB) menyediakan €158.9 juta (US$174.9 juta) untuk projek itu. 

"Bangunan kami sudah terlalu lama dan kapasitinya tidak mencukupi," kata Timbalan Ketua Pakar Perubatan Hospital Okmeydani Dr Ismail Koyuturk kepada Anadolu.

Koyuturk berkata hospital itu merawat sejumlah 10,000 pesakit setiap hari.

"Apabila beroperasi, hospital ini bakal menyaksikan peningkatan sebanyak 20 peratus dalam jumlah pesakit," katanya.

Jumlah pembedahan juga dijangka meningkat sebanyak 50 peratus yang mencecah 150 setiap hari.

Beliau berkata bangunan baharu hospital itu kini hampir 98 peratus siap.

Hospital itu telah meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan tertiar di bangunan setinggi 14 tingkat selain menampung sejumlah 876 katil tambahan untuk menjadikan jumlah keseluruhan katil pesakit di hospital tersebut kepada 1,684.

Seksyen baharu seperti unit pemindahan organ dan penjagaan paliatif onkologi telah diperkenal dengan fasiliti dan peralatan perubatan baharu.

Istanbul terletak di rantau seismik yang aktif dan negara itu telah mengalami beratus-ratus gempa bumi kuat berukuran 6 pada Skala Richter sejak seabad lepas.

Oleh itu, kerajaan telah mengambil langkah penting dalam mengadaptasi strategi membina bangunan kalis gempa dalam usaha mengurangkan risiko gempa bumi kuat, terutama struktur awam termasuk hospital dan pusat perkhidmatan kecemasan lain.

Ketua Bank Pembangunan Islam, Bandar Hajjar, dan delegasi yang mengiringi beliau termasuk Timbalan Gabenor Istanbul, Levent Kilic, serta Ketua Unit Penyelarasan Projek Istanbul, Kaz?m Gokhan Elgin, melawat hospital itu bersama-sama pakar dan pihak berkuasa lain.

-- BERNAMA