PIHAK berkuasa Wuhan berjaya menyiapkan sebuah hospital baharu yang dilengkapi 1,000 katil pesakit dalam tempoh enam hari khas bagi merawat pesakit koronavirus.

Datuk Bandar Wuhan Zhou Xianwang telah menyerahkan hospital yang diberi nama Huoshenshan itu kepada pihak tentera China pada pagi Ahad untuk tindakan lanjut, lapor portal berita CCTV.

Difahamkan, seramai 1,400 anggota perubatan tentera akan mula bertugas di hospital terbabit pada Isnin.


Pada 23 Januari lalu, media tempatan China melaporkan bahawa pihak berkuasa negara itu merancang membina dua hospital pneumonia yang baharu ekoran penularan koronavirus di negara berkenaan.

Jelas Beijing News, kedua-dua hospital itu merupakan model pasang siap, yang boleh dibina dalam enam hari.

Malah, pembinaan kedua-dua hospital terbabit turut disiarkan secara langsung bagi membuktikan kepada orang ramai bahawa kerajaan China komited menangani isu penularan virus berkenaan.

Difahamkan, lebih 40 juta orang yang telah menonton siaran langsung pembinaan kedua-dua hospital terbabit.


Youtube New China TV

Hospital-hospital yang dibina khusus untuk warga China itu turut dilengkapi taman dan terletak berhampiran dengan tasik, di sebuah kawasan luar bandar.

Sementara itu, sebuah lagi hospital iaitu Hospital Leishenshen, dilapor masih lagi dalam pembinaan dan dijangka siap pada Rabu ini.

Menurut sumber, Hospital Leishenshen akan dilengkapi dengan 1,600 katil pesakit bagi mengatasi masalah kekurangan kemudahan perubatan.

Ini bukan pertama kali China membina hospital dalam tempoh yang singkat.

Ketika penularan SARS pada tahun 2003, Hospital Xiaotangshan yang berkapasiti 1,000 katil berjaya disiapkan dalam tempoh enam hari di Beijing.