Insiden culik dan bunuh seorang pelajar kolej yang ditemui mati Rabu lalu adalah berpunca dari hubungan terlarang yang kemudiannya bertukar ‘dingin’.

Lapor media tempatan, polis New Delhi di India yang mendedahkan penemuan terbaharu itu memaklumkan susulan itu seorang pereka fesyen telah ditahan.

Ayush Nautival, 21 tahun sebelum itu dilaporkan hilang dari kediaman keluarganya Khamis minggu lalu, selepas dikatakan keluar untuk ke kolej.

Selang beberapa jam kemudian keluarga itu mendapat mesej dari aplikasi WhatApp yang memaparkan foto pelajar itu yang diikat dan disertakan dengan tuntutan tebusan sebanyak Rs 50 lakh (RM300,000).

Keluarga mangsa kemudiannya telah memandu ke Dwarka bersama wang tebusan dan mengharapkan bertemu penculik anak mereka.

Bagaimanapun pada Rabu, mayat mangsa telah ditemui di dalam sebuah beg dan dicampak di dalam longkang.

Selepas menyiasat rekod telefon bimbit dan video Ayush, polis berjaya mengesan Ishtiaq Ali seorang pereka pakaian yang ditemui mangsa menerusi satu aplikasi temujanji.

Ditekan oleh pihak polis, Ishtiaq akhirnya mengakui telah membunuh mangsa dengan tukul selepas tercetus pergaduhan sesama mereka.

Selepas membunuh mangsa, Ishtiaq kemudiannya menelefon keluarga mangsa untuk menuntut wang tebusan dan mengambil masa untuk menghapuskan mayatnya.

Cubaan untuk menangkapnya gagal, meskipun 30 orang anggota polis yang berpakaian biasa ditempatkan di lokasi dimana wang tebusan seharusnya ditinggalkan pada Isnin lalu.

Namun tiada sesiapa yang muncul.

Namun penemuan telefon milik mangsa dan kenderaan yang digunakan untuk mengangkut mayat mangsa, membawa kepada pendedahan kejadian sebenar.

Ayush, pelajar tahun akhir jurusan perdagangan adalah anak tunggal kepada keluarga itu. Mereka sebelum ini mendakwa polis tidak berusaha bersunguh-sungguh untuk menyelamatkannya.