Selepas dikritik hebat dan ditangguh hampir lima tahun, kerajaan Brunei didakwa akan meneruskan hasrat untuk melaksanakan hukuman sebat atau rejam sampai mati terhadap beberapa kesalahan termasuk homoseks, zina dan rogol.

Memetik kenyataan pihak berkuasa negara itu, beberapa portal antarabangsa sejak Rabu mendakwa, hukuman hudud akan mula dikuatkuasakan mulai bulan depan.

Reuters melaporkan pengasas pertubuhan hak asasi manusia The Brunei Project, Matthew Woolfe mendakwa negara itu mahu melaksanakan kedua-dua hukuman itu bermula 3 April ini.

Menurut Woolfe, perkara itu diketahui melalui kenyataan di laman web Peguam Negara yang dimuat naik hujung Disember lalu namun hanya disedari minggu ini.

“Kami sedang berusaha memberi tekanan kepada kerajaan Brunei namun masa yang ada begitu singkat sebelum undang-undang itu dilaksanakan,” kayta Woolfe seperti dilapor Reuters.

Bagaimanapun, isu ini menimbulkan perdebatan di laman sosial apabila segelintir pihak khususnya rakyat Brunei mendakwa laporan tersebut tidak benar, dan menyifatkan ia sebagai ‘recycle news’.

Bagi mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu, Astro AWANI cuba menghubung Kedutaan Brunei di Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri Brunei bagi mendapatkan reaksi.

Bagaimanapun, sehingga kini pihak-pihak berkenaan tidak dapat dihubungi.

Difahamkan, sebelum ini Sultan Brunei yang juga bertindak sebagai Perdana Menteri mengumumkan undang-undang syariah itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Pada Mei 2014, fasa pertama telah dilaksanakan melibatkan kesalahan hamil, luiart nikah, tidak solat Jumaat dan mempromosikan kepercayaan agama lain selain Islam.

Mengikut fasa ini, umat Islam yang didapati bersalah melakukan perkara tersebut boleh dikenakan denda atau penjara.

Brunei bagaimanapun, dilaporkan menangguh dua fasa terakhir berikutan bantahan masyarakat antarabangsa pada 2014.