HUJAN lebat mula membasahi beberapa kawasan di Australia termasuk kawasan yang terkesan kebakaran hutan seperti New South Wales dan Queensland pada Sabtu.

Lapor media tempatan, keadaan tersebut turut menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan.

Di Selatan Queensland misalnya, taburan hujan berukuran 300 milimeter direkodkan sehingga memaksa pihak berkuasa menutup jalan utama dan Taman Tema di Gold Coast.

Manakala di Bandar Murwillumbah di New South Wales, yang sebelum ini dilanda kemarau, 173 milimeter hujan direkodkan di bandar itu sehingga menyebabkan banjir kecil.


Menurut Biro Meteorologi, Peter Markworth, kejadian itu disifatkan sebagai fenomena yang jarang berlaku.

“Kita menyaksikan fenomena yang jarang berlaku terutamanya di selatan Queensland. Walaupun hanya beberapa kawasan sahaja yang direkodkan mempunyai taburan hujan yang tinggi, ia masih tidak meluas (ke kawasan kebakaran lain),” ujarnya.


Dalam perkembangan berkaitan, api kebakaran masih lagi merebak di kawasan Victoria dan amaran kecemasan terus diaktifkan.

Kebakaran hutan di Australia telah menyebabkan sekurang-kurangnya 28 maut sejak September lalu.

Ia turut memusnahkan lebih daripada 2,600 kediaman dan merosakkan lebih daripada 10.3 juta hektar kebanyakannya di New South Wales.

BACA: Perlu usaha global menangani kebakaran di Australia - Tun Mahathir