Seorang wanita menjadi orang yang pertama di United Kingdom didakwa atas kesalahan melakukan khatan terhadap anak perempuannya yang berusia 3 tahun.

Menurut laporan BBC, ibu berusia 37 tahun yang berasal dari belah timur London itu dilihat menangis susulan disabit kesalahan tersebut sewaktu perbicaraan di mahkamah Old Bailey.

Turut didedahkan di mahkamah, wanita berketurunan Uganda itu telah mengamalkan pelbagai jenis sihir di rumahnya sebagai usaha mencegah siasatan polis.

Wanita terbabit ketika mempertahankan diri mendakwa bahawa anaknya terjatuh ke atas besi lalu terkoyak kemaluannya apabila hendak mendapatkan biskut pada Ogos 2017.

Menurut pihak pendakwaraya, wanita tersebut telah melatih anaknya untuk menipu kepada pihak polis supaya tidak ditangkap.

Dalam pada itu, pihak defendan menolak dakwaan khatan tersebut, sebaliknya menyokong dakwaan atas kesalahan gagal untuk melindungi anak perempuan daripada risiko FGM (khatan kemaluan).

Namun, hakim mahkamah tinggi Philippa Whipple memberi amaran bahawa wanita terbabit mungkin dikenakan hukuman yang cukup panjang di penjara, apabila hukuman dijatuhkan pada 8 Mac depan.

Khatan perempuan, atau dikenali dalam kalangan masyarakat antarabangsa sebagai female genital mutilation (FGM), digambarkan sebagai “sengaja mengubah atau mencederakan kemaluan wanita untuk sebab-sebab bukan perubatan”.

Mengikut undang-undang di United Kingdom sabit kesalahan pesalah boleh dijatuhkan hukuman selama 14 tahun di penjara.