announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

Ibu lawat teman lelaki, anak ditinggalkan mati kelaparan

Ibu lawat teman lelaki, anak ditinggalkan mati kelaparan
Suspek meninggalkan anaknya selama seminggu untuk bertemu teman lelaki. -Foto Screengrab / Metro UK
TOKYO: Seorang wanita di Tokyo ditahan polis susulan kematian anak perempuannya yang berusia tiga tahun dalam keadaan kelaparan.

Suspek Saki Kakehashi, 24, dipercayai meninggalkan anaknya selama lebih seminggu untuk bertemu teman lelaki yang berada kira-kira 965 km di wilayah Kagoshima, lapor Japan Times.

Ketika disiasat, Kakehashi berkata dia tidak menyangka anaknya akan mati kelaparan dan menganggap tidak akan terjadi apa-apa pada kanak-kanak kecil itu sekiranya ditinggalkannya sendirian di pangsapuri mereka di Ota Ward.

Kakehashi dalam kenyataannnya berkata dia hanya kembali ke rumah pada 13 Jun dan mendapati anaknya Noa dalam keadaan kaku dan segera menghubungi talian kecemasan.

Kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital namun disahkan telah meninggal dunia.

Laporan hasil bedah siasat mendapati Noa mati akibat dehidrasi dan perut kanak-kanak itu dilaporkan tidak mengandungi sebarang makanan.

Mayat kanak-kanak itu juga mempunyai tanda-tanda atrofi thymic iaitu tanda yang sering dilihat pada kanak-kanak yang diabaikan atau didera.

Kanak-kanak itu turut mempunyai ruam di bahagian punggung gara-gara lampinnya tidak ditukar untuk jangka masa yang agak lama.

Polis mengesyaki suspek telah mengabaikan tanggungjawab apabila tidak menghantar anaknya ke pusat jagaan harian lebih setahun.

Kakehashi dilapor bercerai dengan bapa Noa pada Julai 2017.

Sejak itu, dia dipercayai menghadapi masalah kewangan, malah tidak mampu menghantar Noa ke hospital apabila anaknya jatuh sakit.