Dikejutkan oleh berita anaknya dijangkiti koronavirus (COVID-19), seorang ibu diserang sakit jantung secara tiba-tiba sebelum disahkan meninggal dunia dalam kejadian di Kampung Patakhali, Bangladesh pada Selasa.

Renuka Roptan, 56, sebelum itu panik apabila penduduk kampung kecoh mengatakan anaknya, Ratan Roptan, 35, perlu dibunuh kerana positif koronavirus (COVID-19).

Ratan difahamkan baru pulang dari India kerana menziarahi saudaranya dan sebaik tiba di kampung, dia mengalami batuk dan selesema.

Pekerja kesihatan di Bhomra Land Port tempat dia bekerja telah menghantar Ratan ke Hospital Satkhira untuk menjalani ujian.

“Ratan terus pulang ke rumah selepas itu sebelum dia dikunjungi oleh pihak hospital untuk memaklumkan keputusan ujian kesihatan.

“Pada masa yang sama, suasana kampung berkenaan kecoh apabila terdapat khabar angin Ratan akan dibunuh kerana dijangkiti COVID-19,” kata Pengerusi Majlis Kesatuan Padmakur, Ataur Rahman.

Ibu Ratan panik sebaik mendengar khabar angin itu dan meninggal dunia selepas mengadu sakit dada.

Keputusan ujian hospital mendapati Ratan bebas jangkitan COVID-19.

Dia bagaimanapun bersedih atas kehilangan ibu disebabkan khabar angin yang disebarkan penduduk kampung.