AHLI Parlimen di Iceland mencadangkan agar larangan untuk kanak-kanak lelaki berkhatan dikeluarkan.

Cadangan itu meletakkan sekiranya sesiapa yang didapati menjalankan amalan ini, mereka boleh dipenjara selama enam tahun.

Sekurang-kurangnya lima parti politik mengusulkan cadangan hukuman tersebut.

Mereka mencadangkan agar sesiapa yang didapati membuang organ seksual secara keseluruhan atau sebahagian darinya, perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun.

Draf ini jelas dilihat melanggar dan menentang undang-undang yang telah ditetapkan dalam agama yang mewajibkan amalan berkhatan seperti agama Islam.

Selain itu, tindakan mengarahkan kanak-kanak berkhatan adalah satu campur tangan ke atas anggota badan kanak-kanak tersebut.

Usul itu turut menetapkan bahawa kanak-kanak boleh memutuskan sendiri sama ada ingin menjalani prosedur tersebut (berkhatan) atau sebaliknya ketika mereka mencapai usia matang iaitu 15 tahun.

Amalan berkhatan untuk kaum wanita sebelum ini telah diharamkan pada tahun 2005 namun tiada undang-undang terhadap kaum lelaki ditetapkan pada masa tersebut.

Ini kerana jumlah masyarakat Islam dan Yahudi di sana adalah sangat rendah.

Isu berkhatan sebelum ini pernah menjadi perdebatan hangat di negara-negara di utara Eropah seperti Denmark, Sweden, Finland, Norway dan Iceland.

Pada 2016, Persatuan Perubatan Denmark mengharamkan amalan berkhatan kepada kanak-kanak dengan mengatakan langkah itu adalah pilihan peribadi dan hanya boleh dilakukan apabila usia seseorang itu memasuki alam dewasa.

Manakala pada Mei 2017, Norway’s Progress Party (FrP), parti ketiga terbesar di Norway dan terkenal dengan dasar anti-imigresen, menyokong rang undang-undang mengharamkan amalan berkhatan bagi kanak-kanak lelaki berusia bawah 16 tahun.