Amerika Syarikat mendakwa mereka komited dengan usaha berterusan untuk mencapai perjanjian damai Israel-Palestin, beberapa hari selepas Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Kenyataan dibuat Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley ketika mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan yang bersidang berhubung keputusan Trump itu.

"Saya beri jaminan sekali lagi, presiden dan pentadbirannya kekal komited dengan proses damai," kata Haley.

Keputusan Trump telah mencetuskan kemarahan dan bantahan masyarakat antarabangsa dengan protes diadakan di kedutaan-kedutaan Israel dan Amerika Syarikat.

Sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam bantahan di sempadan Gaza.

Haley bagaimanapun mempertahankan tindakan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dengan menyatakan bahawa 'kedutaan AS di seluruh dunia ditempatkan di ibu negara dan Israel tidak seharusnya berbeza'.

"Pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel tidak bermakna AS menyebelahi mana-mana pihak," tambah Haley.

Keputusan menentukan ibu negara akan dibuat ketika rundingan antara pihak berkuasa Israel dan Palestin.

Sementara itu Wakil Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour, berkata AS tidak seharusnya terlibat dalam proses damai Israel-Palestin.

"Tidak ada satu pihak yang boleh monopoli proses damai terutamanya mereka yang mempunyai kecenderungan menyokong pihak yang menakluki dan mengambil hak individu lain," katanya.