Kerajaan India dilaporkan telah memanggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia bagi memaklumkan bantahan rasmi terhadap kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung isu pindaan perlembagaan negara itu.

Memetik laporan akhbar Times of India, Duta Malaysia diberitahu kenyataan perdana menteri itu tidak selaras dengan amalan diplomatik supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain dan hubungan dua hala.

"Kenyataan itu sama sekali tidak bermaklumat dan tidak sensitif. Malaysia diminta untuk mengambil pandangan jangka panjang dan strategik mengenai hubungan dua hala," kata laporan itu, memetik sumber-sumber yang tidak dinamakan.

Sebelum ini Kementerian luar Negeri India mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan kenyataan Tun Mahathir sebagai tidak tepat dan menggesa Malaysia tidak mengulas perkembangan dalaman di India tanpa memahami fakta-faktanya dengan betul.

Pentadbiran Narendra Modi berdepan protes hampir dua minggu selepas Dewan Rakyat dan Dewan Negara India meluluskan Akta Pindaan Kewarganegaraan.

BACA: Dalam 10 hari, lebih 1,500 penunjuk perasaan ditangkap di India

BACA: Rakyat Malaysia dinasihat elak kawasan terlibat bantahan awam di India

Akta itu dikatakan untuk membantu minoriti bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan yang datang ke India sebelum 2015 dengan memberikan mereka kerakyatan.

Bagaimanapun penunjuk perasaan mendakwa pengecualian terhadap orang Islam itu menunjukkan diskriminasi terhadap komuniti itu.

Malah undang-undang baru itu didakwa sebagai langkah kerajaan nasionalis hindu untuk meminggirkan mereka.

BACA: 'Kenyataan saya, milik saya' - Dr Mahathir tidak peduli jika India anggap beliau salah

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menolak kritikan India berhubung kenyataannya tentang undang-undang baru kewarganegaraan negara itu, yang disifatkan sejumlah pihak sebagai mendiskriminasi orang Islam.

Dalam sidang media selepas penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, Mahathir berkata beliau hanya menyuarakan pendapatnya apabila mempersoalkan keperluang undang-undang itu.


Astro AWANI sedang berusaha mendapatkan Kedutaan Malaysia di India bagi mengesahkan laporan itu, namun masih belum berhasil.