Perdana Menteri India, Narendra Modi yakin bahawa negara itu akan memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan dan meningkatkan produksi vaksin COVID-19 apabila ia berjaya dihasilkan kelak.

"Vaksin yang dibuat di India bertanggungjawab ke atas dua pertiga keperluan vaksin kanak-kanak dunia.

"Hari ini juga, syarikat-syarikat kami aktif dalam usaha antarabangsa untuk pembangunan dan pengeluaran vaksin COVID-19.

“Saya yakin bahawa India akan mempunyai peranan penting dalam mengembangkan dan meningkatkan produksi vaksin setelah ia ditemukan,” katanya.

Untuk rekod, India melaporkan hampir 25,000 kes jangkitan baharu pada Khamis dan kadar penularannya meningkat untuk pertama kali sejak Mac.

Kes baharu itu menjadikan India negara ketiga paling teruk terjejas akibat virus itu selepas mempunyai jumlah kes positif sebanyak lebih 767,000.

Kementerian Kesihatan India dalam satu kenyataan pula menyatakan jumlah kematian COIVD-19 di negara itu meningkat kepada lebih 21,000, tertinggi di Asia.

Sementara itu, Menteri Kesihatan India, Rajesh Bhushan berkata India dapat menguruskan COVID-19 dengan baik meskipun populasi penduduk di negara itu mencecah 1.3 bilion.

“Walaupun penduduk berjumlah 1.3 bilion orang, India dapat menguruskan COVID-19 dengan baik.

"Sekarang, ketika saya menyatakan bahawa kita dapat menguruskan penyakit ini, jangkitannya agak baik, apa yang saya cuba katakan?

“Apa yang kita maksudkan di sini adalah jika anda melihat kes per juta penduduk, India masih berada di antara yang terendah di dunia. Hari ini kita mempunyai 538 kes per juta penduduk,” ujarnya.

Penyelidikan Institut Sains Matematik di Chennai menunjukkan kadar jangkitan virus di India meningkat pada minggu pertama bulan Julai sehingga 1.19 selepas sebelum ini menurun dari puncak jangkitan 1.83 pada bulan Mac.

Angka jangkitan di India melonjak naik sejak sekatan dilonggarkan di mana ujian saringan telah mencapai lebih 200,000 sampel sehari berbanding hanya ratusan pada Mac.

Pakar kesihatan tidak pasti sejauh mana penyebaran virus di India dan menegaskan lebih banyak ujian saringan mesti dilakukan memandangkan jumlah penduduknya hampir 1.4 bilion.