Indonesia bakal memperkenalkan undang-undang baharu dengan mengkelaskan hubungan seks luar nikah sebagai satu jenayah.

Di bawah undang-undang itu, pasangan belum berkahwin yang tinggal bersama boleh dipenjara enam bulan atau didenda maksimum 10 juta rupiah (kira-kira RM3,000) yang merupakan gaji tiga bulan bagi kebanyakan rakyat Indonesia.

Berjuta-juta rakyat Indonesia mungkin terkesan dengan undang-undang baharu ini susulan kajian mendapati 40 peratus warga muda Indonesia terlibat dalam kegiatan seks luar nikah.

Hukuman penjara maksimum selama setahun juga boleh dikenakan ke atas sesiapa yang melakukan hubungan seks dengan seseorang yang bukan pasangannya apabila ada anggota keluarga terdekat membuat aduan.

Sekiranya diluluskan, undang-undang ini akan berkuat kuasa menjelang akhir bulan ini.

Parlimen Indonesia dilapor turut mempertimbang mengenakan hukuman penjara kepada mana-mana pelancong yang melakukan hubungan seks luar nikah semasa berkunjung ke destinasi percutian popular di Bali.

Susulan kenyataan itu, kedutaan luar di Jakarta dilapor akan mengeluarkan amaran perjalanan kepada warga negara mereka yang bercadang mengunjungi Indonesia.

Undang-undang juga memberi impak kepada aktiviti homoseksual memandangkan perkahwinan gay tidak diiktiraf di Indonesia.

Bagi pasangan yang belum bernikah mungkin terpaksa meminimumkan batas hubungan mereka di khalayak.

Sementara itu, Pengerusi Inisiatif Antarabangsa NGO Indonesia Colin Singer berkata undang-undang itu boleh menyebabkan pelancong asing yang berkongsi bilik hotel dengan seseorang yang tidak berkahwin bakal menerima 'percutian percuma di penjara'.