Indonesia mencatatkan 1,624 kes positif COVID-19 baharu dalam tempoh 24 jam, jumlah tertinggi sejak kes pertama virus itu dikesan di negara itu pada 2 Mac lepas.

Jumlah keseluruhan kes positif di Indonesia kini sebanyak 59,394 kes, manakala jumlah kematian meningkat kepada 2,987 orang dengan 53 lagi kematian dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19 Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, seramai 13,359 pesakit COVID-19 masih dalam pemantauan.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian mengenai pandemik itu yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Peningkatan kes positif menimbulkan kebimbangan banyak pihak berikutanbeberapa provinsi, antaranya Jawa Tengah, Jawa Barat dan Jakarta mula melaksanakan proses transisi atau pemulihan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) yang membenarkan beberapa aktiviti sosioekonomi sejak awal dan pertengahan Jun lepas.

Semalam, Gabenor Jakarta Anies Baswedan berkata PSBB bagi fasa transisi atau pemulihan di provinsi Jakarta, dilanjutkan untuk tempoh 14 hari lagi, dan akan dinilai semula sebelum berakhir tempoh berkenaan berdasarkan perkembangan semasa kes COVID-19.

Presiden Indonesia Joko Widodo sebelum ini mengarahkan pemerintah provinsi agar tidak melonggarkan peraturan PSBB sekiranya kes virus itu masih berterusan meningkat.

Berdasarkan data yang dikeluarkan pemerintah Indonesia hari ini, provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 948 kes, diikuti Jakarta (638 kes), Kalimantan Selatan (190) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

-- BERNAMA