Berita  | Dunia

Indonesia hantar lebih ramai polis bantuan ke Papua selepas keganasan baharu meletus

Indonesia hantar lebih ramai polis bantuan ke Papua selepas keganasan baharu meletus
Pelajar Papua melaungkan slogan ketika mengambil bahagian dalam perhimpunan yang diadakan berhampiran istana presiden di Jakarta, Indonesia, 28 Ogos, 2019. (Foto AP)
JAKARTA: Sejumlah 300 anggota polis tambahan dihantar ke wilayah timur Papua di Indonesia selepas satu perhimpunan yang bertukar ganas sehari sebelum itu masih berterusan pada Khamis, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Ketua Polis Negara Jeneral Tito Karnavian.

Para penunjuk perasaan membakar bangunan kerajaan, pejabat telekomunikasi dan stesen minyak serta membaling batu ke arah sebuah hotel di ibu kota wilayah iaitu Jayapura pada Khamis.

Dalam satu rusuhan sehari sebelum itu di daerah Deiyai, seorang anggota tentera maut manakala dua lagi cedera bersama tiga anggota polis dan seorang awam, menurut jurucakap tentera wilayah Leftenan Kolonel Eko Daryanto.

"Kami mengesali keganasan. Kami telah menghantar (lebih ramai) anggota," kata beliau.

Polis bantuan yang baharu dihantar akan ditempatkan di daerah dan bandar yang dilanda keganasan, kata Tito.

Seorang penunjuk perasaan memegang sepanduk ketika mengadakan perhimpunan di Abepura, wilayah Papua, Indonesia, 29 Ogos, 2019. (AP Photo)

Beliau berkata penyerang ketika rusuhan di Deiyai adalah dari daerah Paniai, tempat asal satu kumpulan bersenjata yang digelar pasukan keselamatan Indonesia sebagai "kumpulan penjenayah bersenjata."

Minggu lepas, sehingga 1,200 anggota polis dihantar ke wilayah Papua Barat selepas satu tunjuk perasaan bertukar menjadi rusuhan, menurut jurucakap polis kebangsaan Inspektor Jeneral Muhammad Iqbal.

-- BERNAMA