Parlimen Indonesia menaikkan had umur minimum perkahwinan melibatkan remaja perempuan kepada 19 tahun dalam usaha membendung perkahwinan bawah umur dalam kalangan kanak-kanak di negara itu.

Ia susulan persetujuan sebulat suara supaya dilakukan semakan semula undang-undang perkahwinan yang ada di negara itu, menurut kenyataan di laman web Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia.

Di bawah undang-undang semasa, kanak-kanak perempuan dibenarkan berkahwin pada usia 16 tahun dan lelaki pada usia 19 tahun.

Dalam pada itu, ibu bapa juga boleh memohon kepada mahkamah agama atau pegawai tempatan untuk membenarkan perkahwinan anak perempuan mereka tanpa usia minimum.

Sebagai rekod, Indonesia berada di kedudukan kelapan dalam dunia mencatat jumlah perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan paling ramai, menurut Girls Not Brides.

Girls Not Bride dikenali sebagai sebuah badan yang amat komited dalam untuk menamatkan perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), 14 peratus gadis di Indonesia sudah berkahwin sebelum usia 18 tahun dan 1 peratus pula sebelum menganjak usia 15 tahun.

Senario ini didorong oleh beberapa faktor utama termasuk kemiskinan, menjaga kehormatan keluarga, norma sosial, undang-undang adat dan agama sehingga membolehkan paksaan dilakukan agar kanak-kanak perempuan dikahwinkan pada usia muda.

"Keputusan parlimen Indonesia adalah langkah positif ke arah mengiktiraf bahawa gadis berhak mendapat peluang yang sama dalam kehidupan sebagai anak lelaki.

“Menamatkan perkahwinan anak tidak akan dicapai dengan undang-undang sahaja,” kata Rachel Yates, Pengarah Eksekutif Girls Not Brides, kepada CNN dalam satu kenyataan.

Katanya, meskipun pun undang-undang dan dasar penting dalam mencegah perkahwinan kanak-kanak, orang ramai perlu menukar mentaliti dan sikap mereka yang rata-ratanya tidak langsung membantah sehingga membuatkan perkahwinan kanak-kanak diterima di tempat pertama.

Sementara itu, Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Kanak-Kanak, Yohana Yembise menyifatkan undang-undang itu sebagai ‘hadiah’ kepada kanak-kanak di Indonesia, lapor Reuters.

Perubahan kepada undang-undang yang sedia ada dijangka dilaksanakan dalam masa tiga tahun.