BERITA buruk buat peminat teknologi dan pengejar trend telefon pintar terbaharu, terutamanya Samsung Galaxy Fold.

Pembuat telefon pintar, Samsung Electronics Co Ltd pada Isnin mengumumkan penangguhan pelancaran telefon pintar yang memperkenalkan skrin LED boleh dibuka-lipat tersebut tanpa memberikan tarikh keluaran yang baharu.

Menurut laporan Reuters, Samsung telah menundakan acara media berkaitan peranti tersebut yang dirancang untuk minggu ini di Hong Kong dan Shanghai.

Pengumuman tersebut dibuat beberapa hari selepas diuji pengulas telefon pintar yang mendakwa terdapat masalah dengan unit ujian telefon lipat mereka.

BACA: Baru beberapa hari diuji, telefon lipat Samsung dah rosak?

BACA: Samsung Galaxy Fold episod baharu inovasi telefon pintar


Samsung telah menundakan acara media berkaitan peranti tersebut yang dirancang untuk minggu ini di Hong Kong dan Shanghai. - Foto Reuters

“Kami membuat keputusan untuk menunda tarikh pelancaran Galaxy Fold bagi menilai sepenuhnya maklum balas yang diterima selain untuk menjalankan beberapa ujian.

“Kami akan mengumumkan tarikh pelancaran dalam masa beberapa minggu,” kata jurucakap Samsung.

Sebelum ini, wartawan-wartawan yang menerima telefon tersebut untuk memberikan ulasan mereka sebelum pelancaran pada 26 April mendakwa bahawa skrin telefon pintar yang berharga $ 1,980 (RM 8,182.35) itu mula berkedip dan rosak.



“Pemeriksaan awal mendapati isu yang timbul mempunyai kaitan dengan bahagian terdedah di atas dan bawah engsel.

“Terdapat juga bahan asing yang dijumpai di dalam peranti yang menjejaskan prestasi skrin,” tambah jurucakapnya.

Samsung mendapat pujian apabila memperkenalkan reka bentuk telefon dengan paparan LED yang boleh dibuka-lipat dan dikatakan merupakan masa depan dalam dunia telefon pintar selepas pelancaran iPhone oleh Apple Inc pada 2007.

Huawei Technologies Co Ltd juga bakal melancarkan telefon bimbit lipat, Mate X.