SEORANG pengunjung taman hidupan liar di China mati dibaham harimau selepas memasuki kawasan kandangnya.

Insiden tersebut berlaku di Taman Hidupan Liar Youngor di bandar Ningbo, kira-kira 200 kilometer dari Shanghai.

Sebuah video yang dimuat naik ke laman YouTube menunjukkan lelaki berkenaan diserang sebelum dibaham seekor harimau, sementara dua ekor harimau lagi turut berada berdekatan. Harimau-harimau itu kemudiannya dihalau oleh petugas taman berkenaan menggunakan mercun.

Lelaki itu dihantar ke hospital namun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

AFP melaporkan, lelaki itu mengunjungi taman tersebut bersama isteri dan anaknya, namun tidak dapat dipastikan mengapa dan bagaimana dia boleh memasuki kandang harimau tersebut.

Julai tahun lalu, seorang wanita maut selepas ditarik dari keretanya ketika mengunjungi sebuah taman hidupan liar di Beijing.