Berita  | Dunia

Israel negara penjenayah, kami tidak mahu penjenayah - Tun Mahathir

Israel negara penjenayah, kami tidak mahu penjenayah - Tun Mahathir
Dr Mahathir hadir bagi menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa di Pusat Antarabangsa Vienna (VIC) pada Selasa, 22 Jan, 2019. --fotoBERNAMA
VIENNA: Tun Dr Mahathir Mohamad tetap tegas dengan pendiriannya terhadap pendekatan yang diambil ke atas Israel.

Kata Perdana Menteri, setiap negara mempunyai hak untuk membenarkan atau menghalang sesiapa pun memasuki wilayah mereka dan begitu juga pendirian Malaysia.

Ia sebagai mengulas pertanyaan terhadap keputusan Malaysia untuk menghalang kehadiran atlet negara Zionis itu bertanding dalam Kejohanan Renang Wanita Para Dunia 2019 yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada Julai.
“Atlet itu datang dari negara yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa.

"Mereka buat apa sahaja yang mereka suka, termasuklah membina penempatan di negara orang, menceroboh perairan negara lain dan menakluk kapal yang mahu menghantar bantuan ke Gaza,” tegasnya.

Kata Dr Mahathir lagi, banyak perkara yang dilakukan Israel melanggar undang-undang antarabangsa, moral dan hak asasi manusia.

Malaysia katanya tidak boleh berbuat apa-apa kepada Israel, dan pada masa sama tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan negara itu.

“Mereka boleh sertai kejohanan sukan di negara lain tetapi bagi Malaysia, mereka datang dari sebuah negara penjenayah dan kami tidak boleh menerimanya,” kata beliau lagi.