Rusia menggesa Britain untuk menjawab kesemua 14 soalan yang dihantar melalui kedutaannya di London.

Kedutaan Rusia di London pada Sabtu telah menghantar soalan-soalan terbabit kepada Kementerian Luar Britain bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dakwaan yang dibuat Britain sebelum ini.

Kesemua soalan merujuk kepada penyiasatan berhubung penggunaan agen saraf A-234 atau dikenali sebagai 'Novichok yang digunakan bagi cubaan meracun bekas perisik Rusia Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia pada 4 Mac lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kedutaan Rusia di London menyebut insiden terbabit sebagai satu helah yang cuba diadakan Britain bagi memburukkan Rusia.

Berikut adalah soalan-soalan yang diutarakan Rusia kepada Britain.

1. Mengapakah Rusia ditolak hak akses sebagai konsular kepada dua warga Rusia terbabit, yang mendatangkan bahaya kepada Britain?

2. Apakah antidot yang spesifik dan dalam bentuk apa yang disuntik terhadap mangsa? Bagaimanakah racun tu boleh berada bersama doktor yang melakukan pemeriksaan di tempat kejadian?

3. Berdasarkan alasan apakah Perancis terlibat dalam kerjasama teknikal dalam penyiasatan kejadian itu, sedangkan yang cedera adalah warga Rusia?

4. Adakah Britain memberitahu Organisasi Larangan Senjata Kimia (OPCW) penglibatan Perancis dalam penyiasatan kejadian di Salisbury?

5. Apakah hubungan Perancis dengan kejadian itu yang melibatkan dua rakyat Rusia di Britain ?

6. Apakah peraturan atau undang-undang Britain membenarkan penglibatan negara asing dalam siasatan dalaman?

7. Bukti apa yang telah diserahkan kepada Perancis untuk dikaji dan untuk siasatan dijalankan?

8. Adakah pakar Perancis hadir semasa pensampelan biomaterial dari Sergei dan Yulia Skripal?

9. Adakah kajian biomaterial dari Sergei dan Yulia Skripal yang dijalankan oleh pakar Perancis dan, jika ya, di mana makmal khusus itu?

10. Adakah Britain mempunyai bahan yang terlibat dalam siasatan yang dijalankan oleh Perancis?

11. Adakah keputusan siasatan Perancis disampaikan kepada Sekretariat Teknikal OPCW?

12. Berdasarkan sifat apa yang dikatakan berasal dari 'Rusia' bahan yang digunakan di Salisbury?

13. Adakah Britain mempunyai contoh agen saraf atau senjata kimia, yang mana wakil-wakil Inggeris merujuk sebagai 'Novichok'?

14. Adakah sampel agen saraf yang sama seperti 'Novichok' (mengikut istilah Inggeris) atau analognya telah dibangunkan di Britain?

Senarai yang sama, yang mengandungi 10 soalan, telah dihantar Kedutaan Rusia di Paris kepada Kementerian Luar Perancis.

Menurut dokumen itu, Moscow ingin tahu mengenai alasan Perancis terlibat dalam siasatan Britain terbabit.

Ia menuntut agar Paris mendedahkan apa jenis bukti yang diserahkan kepada Perancis oleh Britian dan bertanya jika anggota penyiasat Perancis memiliki sampel agen saraf A-234 (juga dikenali sebagai 'Novichok') atau biomaterial dari Sergei dan Yulia Skripal.

Rusia juga menuntut penjelasan tentang apa yang membuat ahli-ahli Perancis menyimpulkan bahawa bahan yang digunakan dalam serangan Salisbury adalah agen saraf A-234 dan ia didakwa berasal dari Rusia.

Moscow sebelum ini telah menafikan semua tuduhan dan menuntut Britain mengemukan bukti kukuh.

Walau bagaimanapun, London enggan bekerjasama dengan Rusia mengenai kes itu dan menafikan akses kakitangan konsular Rusia bagi bertemu warganegara Rusia Yulia Skripal dan menolak permintaan untuk memberikan contoh bahan toksik yang dipersoalkan.

Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia, ditemui tidak sedarkan diri di di Salisbury pada 4 Mac lalu dengan Britain mendakwa agen saraf yang direka khas Soviet digunakan terhadap mereka.

Laporan awal yang dikeluarkan Britain menegaskan bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Susulan itu juga Britain telah mengusir 23 diplomat Rusia seminggu selepas kejadian.