USAHA mengesan pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Karawang menerima perkhabaran terbaru apabila pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mendakwa telahpun dapat mengesan isyarat ping dari kotak hitam pesawat itu di dasar laut.

Isyarat itu dikatakan telah diterima kapal pengesan Baruna Jaya I milik Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi (BPPT).

Menurut Ketua Biro Kompas TV, Safri Sitepu yang menyampaikan maklumat kepada Astro AWANI dari lokasi pesawat itu terhempas, kapal pengesan itu telah menjejak isyarat kotak hitam dari pesawat itu.

Isyarat kotak hitam itu telah ditemukan melalui isyarat ping yang dikenal pasti oleh robot Kenderaan Kawalan Jauh Dasar Laut (ROV) yang secara tidak langsung mampu membantu mengesan posisi bangkai pesawat tersebut.

Tambahnya, perkembangan tersebut merupakan satu berita baik setakat ini, kerana ia bakal memberikan maklumat tentang situasi sebenar yang berlaku pada pesawat tersebut sebelum ia terhempas di Laut Jawa.

Safri juga memberitahu bahawa setakat ini 49 jenazah telah dibawa ke Hospital Polri, Jakarta untuk dibedah siasat dan juga dilakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan mayat mangsa yang terlibat dalam kemalangan pesawat terhempas.