Kumpulan militan Daish telah menyebarkan mesej amaran sebelum berlaku serangan di Jakarta Pusat yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang termasuk pengebom berani mati, kata polis.

Bagaimanapun, jurucakap polis Anton Charliyan berkata, identiti kumpulan yang melakukan aksi keganasan itu masih belum jelas.

Namun, menurutnya pihak Daish sudahpun menyebarkan mesej amaran sebelum kejadian tersebut.

"Amaran itu mengatakan bahawa 'sebuah konsert akan diadakan di Indonesia dan ia akan menjadi berita antarabangsa'," ujar Anton kepada sebuah stesen radio tempatan.

Beliau tidak memberikan sebarang butiran lanjut, atau mendedahkan tentang waktu amaran itu dikeluarkan.

Pihak polis telah melumpuhkan beberapa percubaan plot keganasan di Indonesia pada bulan lalu, dengan ada di antaranya mempunyai kaitan dengan Daish.

Ratusan warga Indonesia dikhuatiri telah menyertai kumpulan militan, yang rangkaiannya telah menguasai wilayah-wilayah besar di Iraq dan Syria.