announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

Jakarta lanjut tempoh darurat sehingga 19 April

Jakarta lanjut tempoh darurat sehingga 19 April
Seorang lelaki memakai topeng pelindung muka duduk di kerusi dalam sebuah kereta api komuter yang kosong susulan pengisytiharan darurat di Jakarta, Indonesia, 28 Mac, 2020. REUTERS
TEMPOH  darurat di Jakarta akan dilanjutkan dua minggu lagi berikutan pertambahan kes COVID-19 di republik Indonesia.

Menurut Gabenor Jakarta Anies Baswedan, pengisytiharan darurat yang bermula pada 20 Mac itu akan dilanjutkan sehingga 19 April.

Ia sebagai usaha untuk memperlahankan penyebaran dan mengekang penularan virus berkenaan.

"Kami sedang menyediakan cara-cara untuk menjangkakan semua kemungkinan yang boleh berlaku di bandar ini.

"Kami memohon kepada orang-orang di Jakarta supaya tidak meninggalkan Jakarta, terutamanya untuk pulang ke kampung halaman," katanya pada satu sidang media melalui video pada Sabtu.

BACA: COVID-19: Indonesia isytihar darurat dua minggu di Jakarta 

Terdahulu pada Jumaat, Menteri Keselamatan Indonesia Mahfud MD turut mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melarang tradisi yang digelar 'mudik' pada bulan Mei ini.

Ia merujuk kepada amalan pulang ke kampung oleh umat Islam setiap kali di penghujung Ramadan.

Indonesia mengesahkan 109 jangkitan baru COVID-19 pada Sabtu, menjadikan jumlah kes di negara itu meningkat kepada 1,155.

BACA: Kematian akibat COVID-19 di Indonesia kini melebihi 100 kes 

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan negara itu mengesahkan terdapat 15 kematian baru, menjadikan jumlah terkini 102 kematian.

Menurut data kerajaan, sebanyak 627 kes telah direkodkan di Jakarta dan 62 orang telah meninggal dunia.