FENOMENA terbesar dunia yang berasal dari Korea Selatan, BTS yang kini menjadi ‘band boy’ paling berpengaruh besar di dunia selepas melakar pelbagai rekod dan sejarah baharu sepanjang perjalanan mereka dalam dunia muzik.

Baru-baru ini, BTS menjadi artis kumpulan pertama yang berada di tangga teratas dalam carta Billboard 200, menguasai ketiga-tiga album mereka dalam pada satu masa dan sekali gus memecah rekod The Beatles yang selama ini mengambil masa 11 bulan untuk mencapai rekod tersebut.

Kejayaan BTS dalam menjadi selebriti yang sangat berpengaruh bukan merupakan sesuatu yang baharu, namun ia mempunyai perbezaan di antara menjadi kumpulan yang berpengaruh besar dan juga satu ikon.

Lalu, kenapa pengumuman kerajaan untuk membawa BTS ke Malaysia disambut dengan rasa kurang senang, marah dan tidak puas hati dalam kalangan sesetengah pihak?

BTS bukan sekadar komoditi eksport dari Korea ke mata dunia semata-mata, sebaliknya, ada nilai yang jauh lebih tinggi daripada itu dalam kumpulan itu yang harus diteroka.

Mereka dianggap sebagai ikon dunia selepas memenangi kategori Artis Sosial Terbaik dalam Anugerah Muzik Billboard selama tiga tahun berturut-turut dan yang terbaru pada tahun ini.

Selain pencapaian anugerah yang dikecapi BTS, mereka juga merupakan satu-satunya artis Korea yang telah meraih jumlah tontonan sebanyak 450 juta untuk sebanyak enam klip muzik video di laman YouTube.

Yang terbarunya ialah klip muzik video “IDOL” yang menjadi klip muzik video terpantas untuk mencecah sebanyak 450 juta tontonan dan ia merupakan muzik video keenam BTS untuk mencapai jumlah itu selepas lagu ‘DNA’, ‘Fire’, ‘Fake Love’, ‘MIC Drop (Steve Aoki Remix)’ dan ‘Dope’.

Ada apa dengan BTS?

Pastinya ramai yang tidak dapat menafikan bahawa gaya dan personaliti merupakan sesuatu yang penting dalam pembawaan sebagai imej selebriti.

Jika dilihat pada setiap aspek di dalam genre K-pop, sudah tentu ramai yang dapat melihatkan imej artis BTS ini mempunyai keunikan sendiri seperti contoh fesyen yang dibawakan, seni koreografi dan keunikan klip muzik video mereka.

Kumpulan Bangtan Boys lebih fokus kepada topik yang berkaitan dengan kehidupan sosial seperti kesihatan mental dan aspek populariti mereka telah menjadi pengaruh selain daripada industri muzik.

Salah satu teori popular yang berkaitan dengan BTS ini ialah muzik mereka lebih cenderung kepada introspektif iaitu menumpukan kepada fikiran dan perasaannya sendiri, emosi dan penyesuaian yang sering memacu industri K-pop.

Oleh itu, golongan remaja masa kini menganggap BTS sebagai satu ikon yang bukan sahaja menghiburkan dengan lagu-lagu hit mereka malah turut menjadi sumber inspirasi dalam kehidupan seharian mereka.

BACA: Kemunculan BTS di 'Saturday Night Live' lahirkan berduyun Army baharu

Menurut penyelidik dari Yayasan Korea University of British Columbia, Cedar Bough Saeji: “Kadar bunuh diri dan tahap keputusasaan adalah sangat tinggi dalam kalangan belia di Korea dan ia berpunca daripada kadar pengangguran yang tinggi dan daya saing masyarakat Korea.”

Lalu BTS berusaha untuk membuat perubahan kepada demografik yang berpunca golongan muda itu dan dianggap sebagai satu medium yang besar dalam membawakan pengaruh yang baik kepada golongan muda.

Antara yang menjadi sumber inspirasi, BTS turut bercakap tentang kempen 'Love Myself' yang dilancarkan dengan hasil kerjasama UNICEF dan memberi tumpuan kepada pendidikan global dan pencegahan keganasan terhadap remaja.

"Tidak kira siapa anda, di mana anda berasal, warna kulit anda, identiti jantina anda - hanya bercakap dengan diri sendiri," katanya.

"Kenali siapa diri anda dan kenali suara anda dengan bercakap dengan diri sendiri” antara petikan yang diucap oleh RM.

BTS mempunyai nilai kekayaan yang tinggi

Jika ingin dibandingkan dengan pelbagai artis Korea Selatan, BTS juga dikategorikan sebagai artis yang mempunyai nilai kekayaan yang tinggi dan secara tidak langsung telah banyak berjasa dalam menjana ekonomi di Korea.

Berikut merupakan infografik bagi senarai nilai kekayaan artis lelaki K-pop:-

Selain BTS, terdapat ramai lagi artis K-pop yang telah banyak mencapai kejayaan dalam industri muzik dan ini merupakan sebahagian daripada artis lelaki K-pop dan jumlah nilai kekayaan yang telah diraih bagi tahun 2019.

Bagi tahun ini, nilai kekayaan bagi BTS sahaja dianggarkan melebihi AS$60 juta iaitu (RM246 juta).

Setiap ahli kumpulan terkenal ini mempunyai nilai kekayaan di antara AS$8 juta RM33.1 juta) hingga ke AS$10 juta (RM 41.5 juta) di mana RM dan Suga yang memiliki jumlah AS$10 juta (RM 41.5 juta) kerana mereka merupakan penulis lagu BTS.

Sumber utama pendapatan untuk band boy terkenal ini tidak lain tidak bukan hasilnya daripada kerjaya mereka dalam dunia muzik sendiri, hasil jualan barang produk mereka sendiri sangat menerima sambutan yang tinggi.

Selain daripada hasil pendapatan mereka dalam mengadakan persembahan konsert dan pertunjukan di serata dunia, BTS ini juga telah mengutip jualan sebanyak satu juta bagi penjualan album mereka setiap kali munculnya album baharu.

Bukan itu sahaja, mereka turut menjadi duta terbesar iaitu buat UNICEF, duta bagi FIFA Piala Dunia Russia 2018 dan juga untuk beberapa jenama fesyen yang terkenal.

Cukup sahaja dengan mendengar perkataan BTS, kumpulan tersohor yang mempunyai jumlah pengikut seramai 36 juta pengikut di ruang media sosial ini pastinya memberikan gambaran yang positif bukan sahaja golongan remaja malah dari setiap peringkat umur.

Menurut Institut Penyelidikan Hyundai, BTS dijadikan sebagai aset ekonomi yang bernilai. Kira-kira 800,000 pelancong dipercayai telah memilih Korea Selatan sebagai destinasi mereka pada 2017 kerana BTS.

Jika BTS mengekalkan popularitinya, mereka dijangka menjana nilai ekonomi 41.8 trilion won (RM202 billion) dalam tempoh 10 tahun akan datang, tambah mereka lagi.