Berita  | Dunia

Jenis pesawat nahas Ethiopian Airlines sama dengan pesawat Lion Air yang terhempas

Jenis pesawat nahas Ethiopian Airlines sama dengan pesawat Lion Air yang terhempas
Pesawat Boeing 737 milik Ethiopian Airlines yang dalam penerbangan ke Nairobi, Kenya itu dikatakan membawa 149 penumpang bersama lapan kru. - Gambar fail/REUTERS
PESAWAT Ethiopian Airlines ET302 yang terlibat dalam nahas hari ini adalah dari model sama dengan pesawat Lion Air JT-610 milik Indonesia yang terhempas pada Oktober lalu -- iaitu Boeing 737 Max 8.

Menurut portal FlightGlobal, keadaan itu boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penumpang yang ingin menaiki pesawat tersebut.

Namun, setakat ini tiada bukti yang mengatakan pesawat Ethiopian Airlines ET302 mengalami masalah yang sama dengan pesawat Lion Air JT-610, meskipun kedua-duanya terhempas hanya beberapa minit setelah berlepas.

Dalam kejadian pada Ahad, pesawat ET302 yang dalam penerbangan ke Nairobi, Kenya dan membawa 149 penumpang bersama lapan kru itu dilaporkan terhempas 6 minit selepas ia berlepas dari Addis Ababa.
BACA: Nahas Ethiopian Airlines: 149 penumpang, 8 kru pesawat disahkan terkorban

Insiden tersebut berlaku pada jam 8.44 pagi waktu tempatan.

Menurut portal Flightradar24, pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta jam 10.25 pagi waktu tempatan.

Pesawat Boeing 737 MAX 8 itu didakwa baru digunakan sekitar empat bulan lalu.

Pada tragedi 29 oktober 2018 pula, pesawat jenis Boeing Co 737 MAX terhempas ke Laut Jawa, 13 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, membunuh kesemua 189 penumpang dan anak kapal.



Laporan awal Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia pada November mendedahkan latihan, penyelenggaraan serta sistem anti-stall serta pengantian sensor antara punca tragedi.

Ia membawa kepada waris mangsa memfailkan saman terhadap Boeing.