Jepun kini giat menjalankan kempen anti merokok sempena penganjuran Sukan Olimpik Musim Panas pada tahun depan.

Justeru itu, sebuah universiti di Tokyo, Universiti Nagasaki, menyambut baik usaha berkenaan dengan bertindak menghentikan pengambilan tenaga pengajar yang merokok.

Jurucakap universiti berkenaan, Yusuke Takakura berkata, mereka tidak akan menggaji tenaga pengajar meskipun ada yang berjanji akan meninggalkan tabiat itu sebaik diterima bekerja.

Tidak hanya dengan itu, universiti berkenaan turut menjadi keseluruhan kampus sebagai kawasan larangan merokok bermula Ogos ini.

“Kami sudah mencapai kata sepakat bahawa perokok tidak sesuai untuk mengajar,” katanya.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan institusi pengajian itu merupakan yang pertama dalam negara mengenakan syarat sedemikian dan ia berlaku selepas kerajaan bandar Tokyo meluluskan peraturan anti merokok yang ketat tahun lalu menjelang temasya sukan dunia berkenaan.

Jepun amat dikenali sebagai syurga perokok dan mereka bebas merokok di mana sahaja termasuk restoran dan bar.

Terbaharu, Tokyo mengenakan larangan merokok di semua restoran di kawasan bandar dan mengasingkan kawasan merokok dari ruang makan.

Dalam perkembangan lain, Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) meletakkan Jepun sebagai sebuah negara yang sukar membanteras perokok pasif dan merekod prestasi terburuk di rantau ini berbanding dengan China dan Korea Selatan.