JEPUN mencetuskan kemarahan antarabangsa apabila mengambil keputusan untuk meneruskan pemburuan paus secara komersial pada Julai, setelah berdekad-dekad cuba ‘memujuk’ Suruhanjaya Pemburuan Paus Antarabangsa (IWV) untuk membenarkan mereka berbuat demikian.

Kerajaan Jepun pada Selasa memberitahu, negara itu akan menarik diri daripada IWC supaya boleh memulakan kembali amalan kontroversi itu.

Keputusan itu mengundang kecaman daripada komuniti antarabangsa, termasuk Australia dan New Zealand yang sudah mengeluarkan kenyataan mengutuk langkah tersebut.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Yoshihide Suga berkata, pemburuan paus itu hanya akan dihadkan dalam perairan Jepun dan zon ekonomi eksklusifnya.

Suga menambah, Jepun ‘tidak akan memburu paus di Laut Antartika atau di Hemisfera Selatan’, dan amalan itu akan dibuat ‘selaras dengan undang-undang antarabangsa’.

Pemburuan paus oleh Jepun di Laut Selatan sudah lama menjadi sebab pertelingkahan antara kerajaan itu dan Australia.

Dalam satu mensyuarat pada September, IWC telah menolak bidaan Jepun untuk meneruskan pemburuan paus secara komersial. Suga berkata, tiadak ada jalan tengah dalam perbincangan antara pihak yang menyokong dan menentang.

“Pengumuman hari ini ternyata membelakangkan komuniti antarabangsa, apatah lagi usaha untuk melindungi masa depan lautan dan makhluk istimewa ini.

“Sebagai pengerusi Kumpulan G20 pada 2019, kerajaan Jepun perlu komited pada IWC dan mengutamakan langkah baharu dalam konservasi marin,” tegas kumpulan konservasi antarabangsa, Greenpeace.

Menteri Luar New Zealand Winston Peters berkata mereka kecewa dengan keputusan tersebut, namun mengalu-alukan langkah untuk menghentikan pemburuan paus di Laut Selatan.

Akhbar Jepun, Asahi, melaporkan pengambilan daging paus sebagai makanan hanya 0.1 peratus daripada pengambilan jenis-jenis daging lain.

Sebuah moratorium antarabangsa tentang pemburuan paus telah dimulakan sejak tahun 1986, namun Jepun sudah banyak kali tidak mematuhinya.