Tindakan Presiden Jokowi yang menjadi imam kepada Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani di Kabul telah menangkis dakwaan sebelum ini yang mengatakan beliau bukan beragama Islam.

Menghormati permintaan Ashraf Ghani, Jokowi atau nama sebenarnya, Joko Widodo telah menjadi imam solat Zohor di sebuah bangunan di Kabul diiringi kira-kira tiga saf dibelakangnya.

Jokowi berbuat demikian semasa kunjungan rasminya ke enam negara Asia dan Kabul adalah perhentian terakhirnya.

Dalam kunjungan itu, Jokowi telah dianugerahkan Medal of Ghazi Amanullah daripada presiden Afghanistan atas keteguhan dan keberaniannya menjalin hubungan bilateral antara Indonesia-Afghanistan.

“Marilah kita bersama-sama berganding tangan memelihara perdamaian. Marilah kita berganding tangan untuk menciptakan dunia yang sejahtera bagi semua.” ucap Jokowi semasa lawatan tersebut.

Presiden negara republik itu juga menegaskan bahawa setiap orang memiliki hak untuk menikmati kedamaian.

Beliau turut berpendapat bahawa perdamaian, kesatuan dan pembangunan antara dua negara dapat dikecapi dengan rahmat Allah.