Seorang lelaki Thailand yang menyamar sebagai ‘bilionair’ dan menjadi tular kerana meninggalkan wanita yang baru dikahwininya di majlis perkahwinan mereka di Buri Ram dengan tanggungan hutang, sudah ditahan pihak berkuasa.

Portal berita Bangkok Post melaporkan, lelaki itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang sejurus tiba dari Hong Kong pada Khamis malam.

Timbalan Komander Imigresen Thailand, Cherngron Rimphadee, berkata, lelaki berkenaan yang bernama Thananat Siripiyaporn atau Nut, 49, telah ditahan sekitar jam 9.30 malam selepas keluar dari pesawat.

Siripiyaporn dikehendaki dengan waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah Bangkok atas dakwaan menggunakan cek palsu.

Imbasan biometrik telah memberi isyarat kepada polis imigresen supaya membuat tangkapan sewaktu ketibaannya di lapangan terbang itu.

BACA: 'Jutawan' tinggalkan hutang kepada isteri selepas majlis persandingan mewah

Pada 10 Mei lalu, sejurus berakhir majlis persandingan besar-besaran di sebuah hotel mewah, Thananat meninggalkan hutang sebanyak 3.5 juta Baht (RM480,000) kepada isterinya.

Pada hari perkahwinan itu, dia turut meninggalkan sekeping cek bertulis 1.6 juta Baht (RM220,000) sebagai mas kahwin.

Bagaimanapun, selepas majlis persandingan itu, cek itu hilang sehingga menyebabkan keluarga pengantin perempuan buntu dan tertanya-tanya mana hilangnya cek berkenaan.