Kabinet baharu kerajaan Sudan mengangkat sumpah buat pertama kali sejak bekas presiden, Omar Hassan al-Bashir digulingkan pada April lepas.

Kabinet baharu itu turut dianggotai Asmaa Abdallah selaku Menteri Luar wanita yang pertama manakala bekas ahli ekonomi Bank Dunia, Ibrahim Elbadawi dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Kerajaan awam itu dibentuk sebagai sebahagian daripada perjanjian perkongsian kuasa yang dimeterai antara tentera dan parti awam serta kumpulan protes.

Perjanjian itu ditandatangani susulan tekanan daripada Amerika Syarikat dan sekutunya, Arab Saudi susulan kebimbangan berlakunya perang saudara meningkat.

BACA: 5 perkara anda perlu tahu tentang krisis politik di Sudan



Perdana Menteri yang baharu Abdallah Hamdok masih berunding dengan pergerakan pro-demokrasi dalam menentukan dua jawatan terakhir dalam Kabinet.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan di hadapan hakim tertinggi negara, Hamdok dan Pengerusi Majlis Kedaulatan, Jeneral Abdel-Fattah Burhan berlangsung pada Ahad.

Sebelum ini, Abdalla yang juga merupakan ahli ekonomi terkenal mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu Sudan pada 21 Ogos lalu bagi memimpin Kabinet peralihan.

Ia juga sebagai langkah bagi membaik pulih ekonomi Sudan yang akan menjadi keutamaan pentadbiran baharu negara tersebut.