Kerajaan dan rakyat Venezuela mampu menyelesaikan krisis politik dan ekonomi negara tanpa perlu campur tangan asing, kata Menteri Penasihat dan Kuasa Usahanya ke Malaysia, Morella Barreto Lopez.

Beliau berkata pembangkang perlu terlebih dahulu menerima perlembagaan negara yang menjadi asas kepada pemilihan Presiden Nicolas Maduro pada Mei tahun lepas. Maduro memenangi penggal pertama pemilihan 2013 selepas kematian Presiden Hugo Chavez pada Mac 2013.

Justeru, ujarnya tidak mungkin pilihan raya baharu perlu diadakan seperti dituntut negara tertentu yang menyokong presiden "sementara", Juan Guaido merangkap presiden Dewan Kebangsaan yang dikuasai pembangkang.

Barreto berkata, perlembagaan jelas mengatakan pilihan raya presiden diadakan setiap enam tahun dan tidak membenarkan pilihan raya baharu memandangkan Presiden Maduro masih melaksanakan tugasnya.

Perlembagaan tidak boleh dicabuli sewenang-wenangnya hanya demi kepentingan diri sesetengah pihak atau negara, dan menurutnya perkara itu jelas termaktub di bawah Perkara 233 namun Guaido dan penyokongnya dilihat sengaja enggan mengakuinya.

Pada 26 Jan, beberapa negara Eropah memberi amaran kepada Maduro agar mengadakan pilihan raya dalam tempoh lapan hari, jika gagal Guaido akan diiktiraf sebagai presiden sementara.

"Mereka mesti mengakui perlembagaan. Kita mahu bebas, mahu menyelesaikan masalah sendiri tanpa campur tangan negara asing," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini Isnin.

Barreto berkata pembangkang perlu menerima keputusan pemilihan presiden yang dimenangi Maduro dengan memperoleh 67.8 peratus undi daripada kira-kira 9.38 juta undi.

Krisis semakin memuncak selepas Maduro menjadi presiden untuk penggal baharu pada 10 Jan secara rasmi, yang kemudian menyaksikan pada 23 Jan Guaido, 35, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara yang mendapat sokongan AS dan beberapa negara lain seperti Brazil, Colombia serta Kanada.

Maduro pula menerima sokongan kuasa besar seperti Rusia dan China.

Mendakwa penggal kedua Maduro adalah tidak sah, Guaido berkeras mengatakan perlembagaan negara membenarkannya beliau menjadi presiden.

BACA: Maduro mungkin tidak hadir Perhimpunan Agung PBB

Barreto berkata selepas Maduro mengambil alih jawatan pada 2013, pembangkang berpendapat pemimpin itu boleh disingkirkan dengan mudah melalui sokongan negara asing.

Untuk membolehkan Venezuela mencari penyelesaian komprehensif, adalah sangat penting AS berhenti sepenuhnya mencampuri hal ehwal dalaman negara, yang menurut Barreto telah bermula sejak 1999 berikutan Revolusi Bolivarian Chavez.

"Sejak 2013, presiden terbuka untuk berbincang dengan pembangkang pada setiap masa ... tetapi mereka enggan," ujarnya.

Tambahnya, masalah pembangkang sekarang ialah mereka dikuasai dan dipengaruhi AS, jadi sepatutnya negara itu berhenti menggugat kedaulatan dan biarkan Venezuela menentukan masa depan serta takdirnya sendiri.

TONTON: Krisis politik Amerika Syarikat-Venezuela

Sekatan ekonomi oleh AS terhadap Venezuela sejak 2015 juga dianggap satu penganiayaan katanya, kerana ia menghalang negaranya mengakses negara Amerika Latin lain untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat-ubatan selain pembiayaan antarabangsa.

Beliau berkata majoriti daripada 15 negara anggota Komuniti Caribbean menyokong Maduro selain Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.

TONTON: Kesatuan Eropah beri kata dua kepada Venezuela

Apa yang dilakukan AS jelas untuk menjadikan Venezuela kerajaan boneka bertujuan mengawal sumber ekonomi terutama minyak dan mineral. Venezuela mempunyai rizab minyak terbesar dunia.

Ketegangan antara Venezuela dan AS bermula sejak 20 tahun lalu dan beliau yakin kali ini negara dan rakyatnya akan mencapai kemenangan.

"Saya yakin kami akan menang... setiap kali menang... ia situasi baharu tetapi tidak mustahil untuk kami menang," katanya.

-- BERNAMA