"Siapa anda untuk mencampuri urusan saya menguruskan negara? Kamu cuba hendak siasat kami? Maaf, jangan cari pasal."

Demikian ketegasan yang dibuat Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang menolak kehadiran penyiasat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke negara itu.

"Anda jelas tahu kami sedang ditelan isu dadah kan?" soal Duterte lagi kepada badan penyiasat terbabit.

Kata-kata tersebut dibuat Duterte ketika berucap di hadapan pegawai polis dan anggota tentera Filipina dalam satu majlis rasmi pada Khamis.

Dalam ucapannya, Duterte turut mengeluarkan arahan agar tiada kerjasama diberikan pihak berkuasa kepada penyiasat terbabit.

"Bila badan penyiasat PBB itu datang, arahan saya kepada kamu semua ialah, jangan jawab apa-apa dan jangan pedulikan mereka," tegasnya.

Tahun lepas, Lembaga Dadah Filipina menganggarkan bahawa negara itu mempunyai sekurang-kurangnya 1.8 juta pengguna dadah dan kebanyakannya adalah penagih methamphetamine.

Susulan peningkatan tersebut, Duterte mengarahkan agar pesalah dadah ditembak mati dan tindakan itu meresahkan PBB serta pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia.

Menurut data Pemerhati Hak Asasi Manusia, seramai 12,000 orang telah terbunuh dalam perang dadah yang dimulakan Duterte pada Jun 2016 itu.

Tahun lalu, Amnesty International berkata pembunuhan yang dilakukan oleh pihak polis "yang dikatakan sebagai hukuman" mungkin merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.

Kerajaan Filipina meletakkan angka itu lebih rendah, menganggarkan sekitar 3,900 orang terbunuh dalam perang dadah terbabit.

Duterte berpendapat isu itu adalah perkara penguatkuasaan undang-undang domestik dan berpendapat bahawa gangguan antarabangsa akan menjadi satu pencabulan terhadap kedaulatan Filipina.