SEORANG lelaki warga Greece yang terlepas menaiki penerbangan bersama Ethiopian Airlines merupakan antara individu yang paling bernasib baik.

Antonis Mavropoulos yang berkongsi pas berlepasnya melalui Facebook merupakan satu-satunya yang terselamat daripada nahas pesawat berkenaan.

"Pada awalnya saya amat marah kerana tiada sesiapa yang membantu saya untuk tiba di pintu berlepas tepat pada waktunya.

"Saya hanya mampu menjerit ketika mereka tidak benarkan saya masuk ke pesawat," katanya yang menganggap hari berkenaan sebagai hari bertuah untuknya.




Ketika bercerita mengenai situasi itu, Mavropoulos turut didekati oleh pegawai keselamatan di lapangan terbang.

"Mereka memberitahu saya denagn baik untuk tidak terus marah tetapi perlu terus bersyukur.

"Pesawat yang sepatutnya saya naik sebelum ini telah hilang daripada radar komunikasi," ceritanya lagi.

Dia hampir terduduk ketika diberitahu tentang betapa bertuahnya dia terlepas penerbangan berkenaan.

Pihak berkuasa lapangan terbang pada sama telah melakukan soal siasat kepada Mavropoulos memandangkan hanya dia satu-satunya penumpang penerbangan ET302 yang tidak menaiki pesawat malang itu.

Pesawat Boeing 737 dari Addis Ababa ke Nairobi membawa lapan anak kapal dan 149 penumpang daripada lebih 30 negara terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Bole pada Ahad.

Nahas yang membabitkan pesawat Boeing 737 Max 8 itu telah menimbulkan persoalan selepas ia dikaitkan dengan pesawat jenis sama yang menimpa syarikat Lion Air Oktober tahun lalu.