PERDANA Menteri Kanada Justin Trudeau pada Jumaat mengumumkan pemberian pampasan kepada keluarga mangsa nahas pesawat Ukraine.

Sebanyak 57 keluarga warga Kanada dan 29 keluarga penduduk tetap akan menerima ASD19,200 untuk setiap seorang mangsa yang terkorban dalam nahas itu.

Kanada bagaimanapun masih berharap Iran turut memberi pampasan kepada mangsa terlibat.

Trudeau turut mengulangi desakan supaya pihak berkuasa Iran mengemukakan data rakaman pesawat kepada Perancis untuk dianalisis.

"Iran bertanggungjawab sepenuhnya ke atas insiden tembak jatuh pesawat awam tersebut. Kami akan bekerja keras bersama rakan antarabangsa untuk mengurangkan tekanan di rantau berkenaan.

"Sudah tentu bantuan segera ini adalah apa yang diperlukan oleh keluarga mangsa ketika ini dan ia sewajarnya datang daripada pihak Iran.

"Tetapi, keluarga-keluarga ini memerlukan bantuan segera dan kami akan hulurkan bantuan kewangan ini kepada mereka secepat mungkin dalam masa beberapa hari ini," katanya.