Seorang kanak-kanak berusia enam tahun merupakan antara tiga mangsa yang terbunuh susulan gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang menggegarkan kawasan sekitar enam kilometer di barat laut di Wilayah Davao Del Sur, Filipina Selatan pada Ahad.

Menurut laporan portal CNN, kanak-kanak tersebut ketika itu berada di dalam rumah keluarganya apabila bangunan itu runtuh, menjadikan mangsa tertimbus.

Pada masa sama, Pengarah Perkhidmatan Bomba, Superintendan Samuel Tadeo mengesahkan angka korban mangsa serta keruntuhan rumah kedai di Padada itu.

Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina berkata gempa bumi yang berlaku di pulau kedua terbesar di negara itu mempunyai kedalaman 30 kilometer.


Ricardo Jalad, yang mengetuai Pejabat Pertahanan Awam, berkata pihaknya menerima laporan awal bahawa sebuah bangunan tiga tingkat runtuh yang menempatkan rumah kedai di Padada ketika gegaran berlaku.

Ekoran itu, pihak berkuasa Filipina melakukan pemeriksaan jika ada yang terperangkap di dalamnya dan sekolah juga akan ditutup pada Isnin bagi mengenal pasti kestabilan bangunan sekolah.

Manakala sesi kelas dan pembelajaran pada Isnin pula tidak akan berlangsung seperti biasa oleh kerana jambatan telah ditutup dan terdapat beberapa kerosakan pada fasiliti.

Dalam pada itu, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berada di rumahnya pada kejadian gempa bumi itu berlaku.

Bagaimanapun beliau dilaporkan tidak mengalami apa-apa kecederaan dan hanya terdapat beberapa keretakan pada dinding rumahnya yang terletak di bandar yang sama.

Pada masa sama, bekalan elektrk di sesetengah bandar raya terbabit telah terputus akibat daripada gempa bumi yang melanda.

Sebelum ini, Wilayah Davao telah dilanda beberapa kejadian gempa bumi yang mengakibatkan kematiian dan kecederaan, serta beberapa kerosakan bangunan.