Berita  | Dunia

Kanak-kanak dua tahun ditemui mati selepas merayau di luar rumah

Kanak-kanak dua tahun ditemui mati selepas merayau di luar rumah
Scott terakhir kali dilihat oleh ibunya, Natasha Scott pada pukul 5.44 petang sebelum dia merayau-rayau di luar rumah. Foto 7news.com
QUEENSLAND: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki, Ruben Scott, di semenanjung Cape York, Queensland, Australia akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di empangan besar berhampiran rumahnya di Stesen Koolatah pada Jumaat.

Jasad kanak-kanak berusia dua tahun itu ditemui oleh pasukan penyelam ketika misi mencari dan menyelamat dijalankan di kawasan dia dipercayai hilang ketika merayau-rayau di luar rumahnya.

Misi menjejaki Scott itu melibatkan seluruh anggota pasukan keselamatan, ahli keluarga dan masyarakat setempat.
Ketua Polis Brian Huxley berkata, semua yang terlibat telah mencurahkan segala tenaga mereka untuk membawa pulang Scott.

“Ia satu keadaan yang paling malang.

“Keluarganya, seperti yang anda boleh bayangkan, hati mereka benar-benar luluh,” katanya kepada pemberita.

Huxley berkata komuniti di kawasan itu juga terkesan dengan berita kehilangan kanak-kanak tersebut.

Scott terakhir kali dilihat oleh ibunya, Natasha Scott, pada pukul 5.44 petang sebelum dia dipercayai merayau-rayau di luar rumah.

Tujuh helikopter dan dron pengesan haba telah diterbangkan melintasi kawasan seluas 170,000 hektar sambil orang ramai turut mencari kanak-kanak itu dengan berjalan kaki, menunggang kuda dan motosikal.

Malangnya, pada petang Jumaat kira-kira jam 3.30 petang Scott disahkan mati di empangan besar berhampiran rumahnya, sekali gus memberi berita buruk kepada keluarga itu.


Tag: Kanak-kanak, hilang, mati, rumah, Queensland, keluarga, mayat


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.