Berita  | Dunia

Kanak-kanak enam tahun diculik, dirogol jiran

Kanak-kanak enam tahun diculik, dirogol jiran
Para penduduk di kawasan perumahan itu yang mengetahui mengenai insiden terbabit bertindak 'menghalau' suspek sebelum lelaki tersebut ditahan polis. - Gambar Hiasan
SEORANG kanak-kanak perempuan malang yang sedang tidur di rumahnya telah diculik sebelum dirogol oleh seorang jiran berusia 27 tahun.

Ketika kejadian itu berlaku, ibu mangsa dikatakan keluar untuk membeli barang runcit di kedai berhampiran kemudiannya terkejut apabila menemukan anak kesayangan yang berusia 6 tahun berlumuran darah berhampiran rumah mereka sambil menangis.

Ibu mangsa bersama anaknya ditinggalkan suami dan berpindah ke kawasan Ratibad, Bhopal India dan bekerja sebagai buruh.

Polis menjelaskan, dalam kejadian pukul 9.30 malam  Jumaat lalu, suspek menculik kanak-kanak itu dan membawanya ke sebuah bangunan sebelum merogol.

Katanya, suspek turut mengugut kanak-kanak itu supaya tidak memberitahu insiden berkenaan kepada sesiapa, lapor protal Times of India.

"Kira-kira pukul 11 malam, ibu mangsa terkejut apabila menemui anak perempuannya menangis berhampiran rumah mereka dengan berlumuran darah," katanya yang memberitahu wanita itu hanya membuat laporan polis keesokan harinya.

Para penduduk di kawasan perumahan itu yang mengetahui mengenai insiden terbabit bertindak 'menghalau' suspek sebelum lelaki tersebut ditahan polis.