Seorang kanak-kanak perempuan di India yang berusia 7 tahun telah menmbuat aduan kepada polis supaya bapanya ditahan kerana gagal menunaikan janji membina sebuah tandas di dalam rumah mereka.

Reuters melaporkan, pihak polis pada Rabu telah mengesahkan menerima aduan daripada kanak-kanak berkenaan.

Di sebalik imej mewah yang sering ditunjukkan dalam filem-filem popular Bollywood, berjuta-juta lagi rakyat India tidak mempunyai akses kepada kemudahan kebersihan dan amalan membuang air di tempat terbuka kian menjadi masalah, walaupun di negeri-negeri perindustrian yang membangun.

Kanak-kanak tersebut, E. Hanifa Zaara, tidak mahu keluar di tempat terbuka untuk membuang air dan dijanjikan sebuah tandas oleh bapanya, ujar pegawai polis A. Valarmathi.

Namun, apabila tiada tandas disiapkan seperti yang dijanjikan, Hanifa akhirnya membuat laporan polis, ujar Valarmathi di bandar Ambur, 100km dari Chennai.

"Kanak-kanak itu bertegas agar bapanya ditahan, kerana dia terasa ditipu.

“Kami telah menghubungi bapanya, memanggilnya ke balai polis dan berjaya membuatkan mereka berjabat tangan serta berkompromi,” ujar Valarmathi.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi telah lama menjalankan kempen untuk membina 100 juta tandas dalam tempoh lima tahun. Bagaimanapun, usaha itu masih belum melibatkan kawasan yang menyeluruh di negara itu.

Times of India berkata, bapa kanak-kanak itu telah dua kali meminta bantuan pihak perbandaran di bawah kempen Modi, yang dikenali sebagai 'Clean India', namun tiada respons diterimanya.

Kempen itu, yang mendapat sokongan syarikat-syarikat besar dan selebriti Bollywood, telah meningkatkan kesedaran tentang keburukan membuang air di tempat terbuka.

Tahun lalu, filem Bollywood, Toilet: A Love Story, yang mengangkat inspirasi kempen Modi, berazam manjadikan topik kebersihan sebagai isu arus perdana.

BACA: Kisah cinta mekar dari tandas, cetus 'keinsafan' PM India