Kanak-kanak daripada masyarakat minoriti Kawliya di perkampungan Al-Zuhoor akhirnya berpeluang menikmati semula pendidikan, setelah satu-satunya sekolah di kampung berkenaan musnah oleh tentera Shia hampir 14 tahun lepas, lapor Reuters.

Sekolah itu telah dibuka semula dengan bantuan dana daripada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) hasil inisiatif kempen yang dimulakan oleh aktivis awam melalui Facebook bernama I am a Human Being.

Sekolah yang diperbuat daripada beberapa karavan yang telah diubah suai daripada UNICEF di pinggir Al-Zuhoor yang terletak berdekatan dengan bandar Diwaniya, 150 kilometer dari selatan Baghdad.

Seramai 27 kanak-kanak berumur enam hingga 10 tahun dan tenaga pengajar yang terdiri daripada seorang guru besar dan dua guru di sekolah berkenaan.

Wakil daripada inisiatif I am a Human Being, Manar al-Zubaidi telah berusaha untuk mendesak pihak kerajaan membantu masyarakat minoriti Kawliya untuk berpeluang mendapatkan pelajaran dan pekerjaan dengan memberikan kewarganegaraan Iraq kepada mereka.

Perkampungan di Al-Zuhoor tidak mempunyai sebarang perkhidmatan asas akibat kemudahan seperti sekolah dan klinik utama di kampung berkenaan yang dibina sewaktu pentadbiran Saddam Hussein telah rosak berikutan serangan mortar di kampung itu oleh tentera Shia, beberapa tempoh selepas pencerobohan pihak Amerika Syarikat untuk menggulingkan Saddam Hussein.

Dianggarkan sekitar 420 orang tinggal di perkampungan tersebut yang kebanyakannya mendiami di pondok-pondok dan rumah yang diperbuat daripada tanah liat serta mempunyai laluan jalan yang tidak berturap.

Puak Kawliya yang juga dikenali sebagai gypsies dari Iraq hidup dalam keadaan tidak menentu akibat dipinggirkan oleh kebanyakan orang Islam dan tidak diterima oleh kebanyakan masyarakat di Iraq.

Mereka diletakkan dalam satu sistem sosial yang lebih rendah dan tidak diberi kewarganegaraan di Iraq disebabkan kurangnya mendapat pendidikan atau kemahiran.

Sebelum ini, menurut masyarakat Iraq, puak Kawliya mendapat perlindungan di bawah pemerintahan Saddam daripada penganiayaan berbentuk pertukaran untuk membekalkan penari, pelayan dan pelacur.

Namun jaringan keselamatan puak nomad itu telah lenyap sejak penggulingan kerajaan di bawah pentadbiran Saddam, menyebabkan mereka terdedah dengan penindasan oleh kumpulan tentera Shia yang terdiri daripada pengikut ulama Muqtada al-Sadr.

Puak Kawliya yang digelar gypsies dari Iraq (Iraq's Gypsies) bertutur dalam bahasa Arab dan menganuti agama Islam.

Kebanyakan mereka berasal dari India dan juga sebahagiannya juga berasal dari negara-negara di Timur Tengah.