Penyanyi rap Kanye West pada Khamis mempertahankan pendiriannya untuk terus menyokong Donald Trump dalam satu pengucapan di hadapan Presiden Amerika Syarikat itu.

Dalam sebuah acara menjelang jamuan tengah hari di Oval Office, White House yang antara lain membincangkan tentang reformasi penjara, peluang pekerjaan untuk etnik Afrika-Amerika dan keganasan di Chicago, Kanye tiba-tiba saja mencelah dengan ucapannya yang bersemangat.

Trump bagaimanapun membiarkan saja Kanye meneruskannya, sementara kamera petugas media memfokuskan kepadanya.

Dalam ucapan selama 10 minit, Kanye yang juga suami kepada selebriti televisyen Kim Kardashian itu turut menyentuh beberapa perkara lain, antaranya pesawat baharu yang Trump perlu pertimbangkan sebagai Air Force One yang seterusnya, selain bercerita tentang diagnosis gangguan bipolar yang dialaminya rupanya adalah gangguan tidur, serta kehidupannya di dalam kediaman yang didominasi oleh wanita.

Kanye menyatakan bahawa ucapan spontan itu ‘datang daripada hatinya’.

Sepanjang ucapan itu, Trump hanya mendengar, diam dan mengangguk.

Kedatangan Kanye ke White House memang dilihat sebagai peluang untuknya menunjukkan bahawa dirinya penyokong tegar Trump.

“Saya berani memakai topi ini,” ujar selebriti berusia 41 tahun itu, merujuk kepada topi merah yang tertera tulisan ‘Make America Great Again’.

Sebelum ini, Kanye sudah banyak menerima kritikan daripada selebriti lain kerana sokongannya kepada Trump, terutamanya selepas kemunculannya dalam program Saturday Night Live.

Dia bagaimanapun mempunyai alasan tersendiri: “Orang beranggapan jika anda berkulit hitam, anda seorang Demokrat. Apa yang saya mahu Saturday Night Live perbaiki, apa yang saya mahu para liberal mengerti... Kalau dia (Trump) tidak kelihatan bagus, kita semua tidak kelihatan bagus.”

Sebelum pertemuan itu berakhir, Kanye bangun dan menghampiri Trump untuk memeluknya.

“Saya sayang lelaki ini. Biarkan saya memberikan pelukan kepadanya,” ujar Kanye.

Trump berkata: “Itu sangat baik, itu dari hatinya.”