Seramai 43 penumpang Kapal Dharma Ricitra III berdepan situasi cemas apabila kapal yang mereka naiki hampir tenggelam.

Kejadian yang berlaku di Pelabuhan Padangbai Karangasem Bali pada 9.45 malam Jumaat itu menyebabkan beberapa penumpang melompat ke laut untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Memetik laporan KompasTV, kapal yang turut membawa 19 anak kapal itu telah bertolak dari sebuah pelabuhan di Lombok.

Menurut seorang penumpang, kapal itu telah menunjukkan tanda-tanda hampir tenggelam namun tiada sebarang maklumat diberikan oleh nakhoda.

Dalam laporan sama, ketua penguat kuasa pelabuhan tersebut telah berjaya menyelamatkan semua penumpang dan sedang berusaha memindahkan badan kapal itu.

"Sehingga kini 35 buah kenderaan masih berada di dalam kapal dan sedang dibawa keluar.

"Situasi itu turut menyebabkan aktiviti menyeberangi perairan Padangbai terpaksa ditutup buat sementara," lapor KompasTV.