Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa tentera laut negara itu telah berjaya menembak jatuh sebuah pesawat dron milik Iran di Selat Hormuz pada Khamis.

Trump dalam satu kenyataan di White House berkata kapal pemusnah USS Boxer terpaksa mengambil keputusan itu selepas dron terbabit menghampiri kira-kira 914 meter dari kapal berkenaan dan amaran agar berundur tidak diendahkan.

"Kapal serang USS Boxer telah mengambil tindakan ke atas dron milik Iran yang menghampiri kapal tersebut kira-kira 1,000 ela (914 meter).

"Dron tersebut tidak mengendahkan gesaan untuk berundur dan ia mengancam keselamatan kapal tersebut serta anak kapal. Disebabkan itu dron terbabit telah dimusnahkan," katanya.

Oleh itu, jelasnya, Amerika Syarikat berhak melindungi anggota dan aset miliknya serta beliau menggesa negara lain untuk mengutuk tindakan Iran.



Dalam reaksi balas susulan kejadian itu, Iran berkata tiada maklumat diterima mengenai kehilangan dron milik negara itu.

Menurut Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, dakwaan Trump itu masih dalam siasatan.

"Berdasarkan maklumat terkini yang saya terima dari Tehran, kami tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kehilangan dron milik kami," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York.


Jun lalu, Iran dilaporkan telah menembak jatuh sebuah dron milik tentera Amerika Syarikat di kawasan yang sama.

Sebelum ini Tehran menyatakan telah menahan sebuah kapal asing dan menahan 12 anak kapal pada Ahad kerana didakwa menyeludup bahan api di Teluk Parsi.

Iran juga sering kali dituduh oleh Amerika Syarikat menyerang kapal tangki minyak asing sejak Mei lalu di kawasan penting pelayaran dunia itu. Tehran bagaimanapun menafikan semua tuduhan itu.

Insiden terbaharu ini telah menimbulkan kebimbangan akan berlaku konflik ketenteraan di kawasan tersebut.