Tentera Laut Argentina mengesahkan pasukan mencari dan menyelamat yang turut disertai Amerika Syarikat dan Rusia mengesan sesuatu yang berkait dengan kapal selam yang hilang pada 15 November lalu.

Penemuan terbaharu yang hanya disebut sebagai 'isyarat' terbabit kini sedang diteliti kapal selam milik Rusia, dan setakat ini maklumat lanjut belum dikeluarkan.

Sementara itu, kapal pencari milik Amerika Syarikat dan Argentina masih meneruskan operasi di kawasan pencarian walaupun Argentina telah mengesahkan operasi mencari mangsa dihentikan sepenuhnya awal bulan ini.

Usaha tertumpu kepada mencari bangkai kapal selam ARA San Juan yang disyaki meletup di dasar laut.

Hasil laporan terakhir yang diterima pangkalan laut dari kapten kapal malang terbabit memungkinkan berlakunya kejadian letupan selepas air laut memasuki kabin udara sebelum berlaku litar pintas.

Jurucakap tentera laut Argentina Enrique Balbi yang mengesahkan laporan berkata kapal terbabit telah karam selepas mengalami kerosakan.

Pihak berkuasa turut mengesahkan terdapat laporan berkenaan bunyi luar biasa di kesan didasar laut berhampiran kapal selam ARA San Juan.

Bunyi yang diklasifikasikan sebagai bunyi letupan itu dikesan tiga jam selepas komunikasi terakhir dibuat kapal malang itu.