Tutup

Kashmir, wilayah indah yang kembali bergolak

Kashmir, wilayah indah yang kembali bergolak
India menuntut keseluruhan wilayah Kashmir sama ada di bawah pentadbiran Pakistan mahupun China. - Foto Fail
ISU Kashmir dilihat sebagai titik tolak kepada ketegangan hubungan antara India dan Pakistan. Ia melibatkan sempadan dan kedaulatan yang membawa kepada pembangunan senjata nuklear.

Kashmir merupakan sebuah wilayah kecil terletak di barat laut benua kecil India. Ia merujuk kepada lembah yang terletak di antara Banjaran Himalaya dan Banjaran Pir Panjal di kawasan paling utara negara India.
Lembah ini berasal daripada sebuah lembah 'air'. Secara literalnya, perkataan "Ka" membawa maksud "air", manakala perkataan "Shimir" membawa maksud "yang dikeringkan''. Maka, Kashmir membawa maksud "lembah yang dikeringkan airnya."

Terdapat juga teori yang menyatakan lembah Kashmir ini berasal daripada Tasik Satisar yang telah dikeringkan airnya.
Pada masa ini, secara geopolitiknya, Kashmir terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Jammu dan Kashmir yang ditadbir oleh India, meliputi lembah Kashmir serta Jammu dan Ladakh.

Kawasan-kawasan Utara dan Azad Kashmir pula ditadbir oleh Pakistan, dan Rantau Aksai Chin dan Laluan Trans-Karakoram yang ditadbir oleh China.

Walaupun, kawasan-kawasan tersebut dikuasai oleh ketiga-tiga negara terbabit, tetapi India mahupun Pakistan tidak pernah mengiktiraf pemilikan antara satu sama lain ke atas kawasan- kawasan yang menjadi pertikaian.

India mendakwa kawasan-kawasan -- termasuk yang diserahkan oleh Pakistan kepada China iaitu Laluan Trans-Karakoram pada tahun 1963 -- adalah sebahagian daripada wilayahnya.

Sementara itu, Pakistan pula menuntut keseluruhan kawasan Kashmir kecuali Aksai Chin dan Laluan Trans-Karakoram.

Ini bermakna, India menuntut keseluruhan wilayah Kashmir sama ada di bawah pentadbiran Pakistan mahupun China.

Sejarah pertikaian wilayah Kashmir bermula pada tanggal 27 Oktober 1947 merupakan detik hitam dalam sejarah wilayah Kashmir apabila lebih 300,000 penduduk Islam menjadi korban dalam tempoh dua bulan setelah tentera India menakluki wilayah Jammu dan Kashmir.

Kerajaan India telah mencabul Akta Kemerdekaan India dan Rancangan Pemisahan  tahun 1947 dengan menghantar tentera untuk menakluk wilayah tersebut.

Mengikut Akta Kemerdekaan India dan Rancangan Pemisahan yang diluluskan oleh Parlimen Britain pada 18 Julai 1947, kerajaan Britain telah memutuskan bahawa India sebagai negara jajahannya perlu dibahagikan kepada dua.

Kawasan yang mempunyai penduduk majoriti Hindu akan membentuk negara India, manakala kawasan yang mempunyai penduduk majoriti Islam di wilayah barat dan Bengal Timur (kini dikenali sebagai Bangladeh) akan dimasukkan di bawah negara baru Pakistan.

Kashmir yang mempunyai majoriti penduduk Islam hampir 90 peratus mempunyai kecenderungan untuk menyertai Pakistan, tetapi atas perancangan pemimpin Hindu dan Kongres Kebangsaan India menyebabkan impian penduduk Kashmir untuk menyertai sebuah negara Islam Pakistan berkecai.

Satu dokumen kontroversi berhubung hak pemilikan ke atas Kashmir yang dirangka di Delhi dan dibentangkan kepada Maharaja Hari Singh, yang merupakan pemerintah negeri Jammu dan Kashmir pada masa itu, tidak dapat dibuktikan, sama ada Maharaja itu telah menandatangani dokumen tersebut seperti yang didakwa oleh India.

Kerajaan India tidak pernah mendedahkan secara terbuka kepada umum dan secara rasmi tentang dokumen tersebut di mana-mana forum antarabangsa, kecuali dalam bentuk gambar salinan asal perjanjian berkenaan yang disiarkan melalui laman web rasmi kerajaan India.

Kerajaan India mendakwa Maharaja Hari Singh iaitu Maharaja Jammu dan Kashmir telah menandatangani dokumen penyerahan wilayah itu kepada India pada 26 Oktober 1947.

Penduduk Kashmir tidak menerima pendudukan haram India sejak hari pertama pencerobohan berlaku dan mula menjalankan pemberontakan bersenjata yang disokong dengan kebangkitan rakyat Kashmir pada tahun 1947.

Pada 1 Januari 1948, setelah kekalahan tenteranya, India merujuk masalah tersebut kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendapatkan bantuan.

Majlis Keselamatan PBB kemudian telah meluluskan resolusi menetapkan bahawa penaklukan dan pendudukan India ke atas Kashmir adalah tidak sah.

Badan dunia itu telah meluluskan dua resolusi, satu pada 13 Ogos 1948 dan satu lagi pada 5 Januari 1949 yang diterima oleh Pakistan dan India.

Melalui kedua-dua resolusi tersebut PBB meluluskan gencatan senjata, menetapkan garisan gencatan senjata (LOC), mengisytihar wilayah itu sebagai bebas tentera dan pungutan suara dengan pengawasan PBB.

Walaupun satu fasa daripada resolusi tersebut (gencatan senjata) telah dilaksanakan, namun langkah membebaskan wilayah tersebut daripada kuasa tentera dan mengadakan pungutan suara yang bebas di bawah pengawasan PBB masih tidak dilaksanakan sampai ke hari ini.

Pada 18 Julai 1949, Pakistan dan India menandatangani Perjanjian Karachi bagi mewujudkan Garisan Kawalan (LOC) dengan diawasi oleh pemerhati daripada PBB.

Berikutan persempadanan semula itu, kawasan seluas kira-kira 141,338 kilometer persegi meliputi negeri Jammu dan Kashmir kekal di bawah India, manakala kawasan seluas 85,846 kilometer persegi meliputi kawasan Azad Jammu dan Kashmir, yang dikenali sebagai Azad Kashmir berada di bawah kawalan Pakistan.

Semenjak dari itu, wilayah Kashmir terus menjadi rebutan antara India dan Pakistan sehingga mencetuskan beberapa siri peperangan antara kedua-dua buah negara yang mana kali terakhir adalah Perang Kargil pada tahun 1999.

Kini, wilayah Kashmir kembali bergolak apabila konvoi tentera india diserang oleh pihak pemisah Kashmir.

India menuduh pihak pemisah tersebut didalangi oleh Pakistan, manakala Pakistan menafikan bahawa mereka mendalangi serangan tersebut, namun menyatakan bahawa serangan tersebut adalah berpunca daripada perjuangan masyarakat Kashmir yang secara demografinya dihuni oleh majoriti Muslim yang tidak rela dan perasaan tidak puas hati dengan Delhi.

Rentetan daripada itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi telah mengambil langkah drastik dengan menarik kembali status autonomi yang memberikan keistimewaan kepada masyarakat di Jammu dan Kashmir untuk mempunyai perlembagaan negeri sendiri, kuasa perundangan dan eksekutif terhadap kebanyakan rakyatnya selain mempunyai kuasa autonomi yang lebih besar berbanding negeri-negeri lain di India.

Hanya warga tempatan di negara itu yang dibenarkan untuk memiliki harta atau memegang jawatan dalam kerajannya seperti mana yang terkandung di dalam Artikel 370.

Artikel 370 tersebut diperkenalkan oleh Menteri dalam Negeri India, Amit Shah kemudian ditandatangani oleh Presiden Ram Nath Kovind dalam satu upacara di India pada tahun 1950-an.

Status khas Jammu dan Kashmir berpunca dari komposisi demografinya yang mana ia adalah satu-satunya wilayah di bawah pentadbiran India yang mempunyai masyarakat bermajoritikan umat Islam.

Ia sebagai keistimewaan dan perlindungan yang diberikan kepada mereka bagi mengurangkan rasa takut terhadap golongan asimilasi yang dipaksa.

Penarikan status autonomi terhadap Jammu dan Kashmr ini menunjukkan bahawa  kedua-dua wilayah ini adalah wilayah biasa di dalam India dan mengesahkan bahawa India mempunyai kedaulatan yang mutlak terhadap kedua-dua wilayah tersebut.

Bagi penulis, tindakan Narendra Modi terhadap Kashmir seperti sudah dirancang bagi menurunkan status autonominya kepada status wilayah biasa kerana beliau dan parti pimpinannya Bharatiya Janata Party (BJP) memang sudah lama menentang artikel 370, malah ia menjadi salah satu janji dalam manifesto Pilihan Raya 2019.

Modi dan BJP berpandangan bahawa Artikel 370 perlu dimansuhkan bagi memastikan Kashmir dapat berintegrasi dengan keseluruhan India serta mempunyai sentimen nasionalisme terhadap India.

Hal ini kerana setelah 20 tahun tamatnya Perang Kargil, secara tiba-tiba terdapat serangan mengejut yang dikatakan dilakukan oleh puak pemisah Kashmir dengan disokong oleh Pakistan.

Mungkin secara fizikalnya, ya, kerana masyarakat di wilayah Kashmir tidak pernah rela menjadi sebahagian daripada India, namun mengapa baru sekarang puak pemisah tersebut kembali mengganas?

Seolah-olah pergolakan ini telah dirancang oleh pihak yang berkepentingan dan sememangnya tidak bersetuju dengan keistimewaan yang diperoleh oleh wilayah Kashmir ini, maka secara teorinya Narendra Modi adalah individu yang dikatakan berperanan dalam tercetusnya perkara ini.

Dengan penarikan status autonomi dan keistimewaan terhadap wilayah tersebut, Delhi telah menghantar seramai kira-kira 10 ribu tentera dan tambahan sebanyak 70,000 tentera akan dihantar dalam masa terdekat bagi memastikan kestabilan wilayah Jammu dan Kashmir.

Selain itu, kerajaan India juga memperkenalkan langkah keselamatan lain terhadap dakwaan wujudnya ancaman keganasan termasuk gesaan menyimpan bekalan makanan dan bahan api.

Tindakan kerajaan India ini seolah-olah mengiyakan bahawa rancangan untuk menurunkan status Kashmir sebagai wilayah autonomi sememangnya telah dirancang.

Sebagai seorang ketua kerajaan, tindakan Modi sekiranya terbukti bahawa beliau adalah dalang sebenar bukan suatu perkara yang pelik.

Ini kerana mana-mana ketua kerajaan atau negara di dunia ini akan memastikan kedaulatan negara mereka akan terus terpelihara, apatah lagi wilayah tersebut adalah sebuah wilayah yang kaya dengan sumber seperti mana Kashmir.

Selain itu, keutuhan sebuah negara bangsa di dalam sistem antarabangsa juga bertitik tolak daripada semangat nasionalisme yang ampuh oleh setiap wilayah dan masyarakat yang mendiami negara tersebut.

Maka, pergolakan yang berlaku di Kashmir baru-baru ini juga tidak terlepas daripada persoalan kepentingan nasional India dan jangkaan bahawa Pakistan dikambinghitamkan juga tidak boleh diketepikan dalam menganalisis isu ini.

Konflik Kashmir ini adalah antara konflik wilayah yang agak sukar diselesaikan kerana ia melibatkan persoalan kedaulatan terhadap wilayah.

Konflik ini juga hanya mampu diselesaikan oleh pihak-pihak yang bertelingkah ini sahaja.

Sekalipun referendum oleh masyarakat di Kashmir dikeluarkan, sekiranya India dan Pakistan, negara yang menuntut keseluruhan kedaulatan terhadap Kashmir tidak berlapang dada menerima suara tersebut, maka sampai bila-bila konflik di wilayah indah tersebut tidak akan tamat.

Malaysia melalui Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan berhubung konflik yang semakin menegang di Kashmir dengan mengusulkan kepada pihak-pihak terlibat agar mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) mengenai Jammu dan Kashmir dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Penyelesaian di meja rundingan adalah kaedah yang paling ampuh dalam menyelesaikan kemelut tersebut kerana sekiranya kemelut tersebut diselesaikan melalui kaedah ketenteraan, maka kebinasaan yang lebih dasyat akan berlaku serta akan merugikan pihak-pihak yang terbabit.


* Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan calon Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Etnik, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.