Seorang jurugambar menyangkakan dia mungkin tidak dapat menyaksikan kehadiran tahun 2016 apabila dia ‘tergantung’ daripada balkoni tingkat 48 Hotel Address Downtown, Dubai.

Sejam sebelum itu, jurugambar tersebut memasuki hotel berkenaan untuk mencari sudut terbaik demi mendapatkan gambar sambutan tahun baru.

Menyedari kebakaran di bangunan itu, dia bergegas untuk turun, namun melihat asap yang semakin banyak memasuki ruang bangunan dan memikirkan cara untuk menyelamatkan diri. Dengan pantas, dia mengikat diri dengan tali sepanjang 100 kaki dari platform yang digunakan untuk mencuci tingkap yang diikat ke tingkap.

Bercerita kepada AFP, jurugambar yang enggan dikenali itu memberitahu, dia mula menghubungi keluarga dan rakan-rakan untuk memaklumkan apa yang berlaku.

Dia kemudiannya dihubungi Jabatan Pertahanan Awam yang membantu menenangkannya.

Nasibnya baik apabila dia diselamatkan pasukan penyelamat kira-kira setengah jam selepas itu.

“Tali itu ‘penyelamat’ saya. Rasanya hanya saya yang ‘tergantung’ selama itu di luar balkoni,” katanya.

Namun di sebalik pengalaman ngeri itu, dia tetap menyambut kehadiran 2016 dengan perasaan teruja.

“Ini tahun baru, dan saya bersemangat untuk melaluinya,” beritahunya.