Jumlah penduduk yang dipindahkan akibat kebakaran besar di pulau peranginan Gran Canaria meningkat kepada 9,000 orang, pada Isnin.

Presiden kepulauan Canary, Angel Victor berkata 1,100 anggota bomba telah dikerahkan bersama 16 pesawat untuk menyimbah air bagi memadamkan kebakaran yang berlaku sejak Sabtu lalu.

Dilaporkan kebakaran sudah merebak ke kawasan Pergunungan Cruzde Tejeda dan Tamadaba Natural Park.

Menurut laporan media tempatan, kira-kira 6,000 hektar kawasan terbakar dalam tempoh 48 jam.

Beberapa pelancong juga terpaksa meninggalkan hotel di luar bandar dan dipindahkan ke penginapan lain sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, sebanyak 12 jalan telah ditutup, namun operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Las Palmas masih berjalan seperti biasa.

Gran Canaria adalah kawasan kedua paling padat penduduk di kepulauan Canary di bahagian Atlantik.