Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia kini mengaktifkan bilik operasi bagi membantu rakyat Malaysia yang berada di Pulau Lombok yang memerlukan bantuan konsular berikutan kejadian gempa bumi bermagnitud 7 pada Skala Richter petang tadi.

Rakyat Malaysia yang berada berada di Pulau Lombok diminta bertenang dengan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

"Kedutaan Besar Malaysia kini mengaktifkan Bilik Operasi dan rakyat Malaysia yang berada di Lombok yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi nombor telefon +62215224947 dan +62 8138081 3036 (Whatsapp) serta emel [email protected] / [email protected]," kata kenyataan Kedutaan Besar Malaysia.

Gegaran gempa bumi kuat di Lombok Utara jam 6.46 petang tadi turut dirasai di sekitar Pulau Lombok, Pulau Sumbawa, Pulau Bali dan Jawa Timur.

Sementara itu, Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan ketika dihubungi berkata kedutaan sedang menyelaras tindakan dengan bekerjasama bersama polis Indonesia dan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) bagi mengenalpasti sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang terbabit akibat gempa itu.

Menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat, BNPB, Sutopo Purwo Nugroho, gempa itu berlaku di 27 km Timur Laut Lombok Utara di Nusa Tenggara Barat.

"Penduduk dilaporkan bertempiaran lari keluar dari rumah dan bangunan, bekalan elektrik dilaporkan terputus di beberapa kawasan di pulau itu dan setakat jam 8 malam ini, sebanyak 14 kali gempa susulan direkodkan berlaku," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata hanya berlaku tsunami setinggi satu meter di beberapa kawasan di pulau itu dan amaran tsunami itu kini telah ditarik balik.

"Setakat ini belum terdapat maklumat lengkap berkenaan kerosakan dan kemalangan jiwa," katanya.

Pada Ahad lepas, gempa bumi 6.4 skala Richter menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok pada 5.47 pagi menyebabkan 17 mangsa termasuk seorang warga Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30 tahun, terkorban.

Gempa pada Ahad lepas itu turut menyebabkan beratus mangsa cedera, manakala lebih 5,000 rumah dilaporkan musnah.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar berkata pihak kedutaan Malaysia juga sedang menghubungi warga Malaysia yang mendaftar sejak kejadian gempa bumi pada 29 Julai lalu.

"Ia bertujuan memastikan keberadaan dan keselamatan mereka," kata kenyataan itu.

Pihak kedutaan turut menggesa warga Malaysia yang berada di pulau Lombok supaya menghindari kawasan pesisir pantai sehingga arahan seterusnya oleh pihak berkuasa Indonesia.

"Setakat ini, pihak berkuasa tempatan masih menilai kerosakan yang berlaku serta keadaan penduduk di kawasan terjejas," kata kementerian itu.

Sementara itu, AirAsia,mengesahkan bahawa penerbangan masuk dan keluar dari Lombok dan Bali beroperasi seperti biasa susulan gempa bumi bermagnitud 7 pada skala Richter yang menggoncang Lombok hari ini.

"Kami akan terus memantau situasi hari ini dan memberi maklumat mengenai perkembangan terkini. Para penumpang dinasihatkan untuk melayari Airasia.com dan menyemak saluran media sosial AirAsia untuk mendapatkan maklumat terkini,"kata syarikat penerbangan itu.


-- BERNAMA