Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Israel akan dipindahkan ke Baitulmaqdis menjelang penghujung 2019, kata Naib Presiden AS Mike Pence dalam ucapan di Parlimen Israel pada Isnin, lapor Reuters.

Keputusan itu adalah satu perubahan dasar yang mencetus kemarahan rakyat Palestin dan warga dunia.

Presiden Donald Trump pada bulan lalu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan berjanji akan memindahkan Kedutaan AS ke situ.

“Dalam minggu-minggu seterusnya, pentadbiran kami mempercepatkan perancangan untuk membuka kedutaan di Baitulmaqdis, dan seterusnya Kedutaan AS itu akan dibuka sebelum akhir tahun ini.

"Baitulmaqdis ialah ibu negara Israel. Presiden Trump telah mengarahkan Jabatan Negara AS untuk segera memulakan persiapan untuk berpindah dari Tel Aviv,” kata Pence.

Ucapan Pence itu bagaimanapun diganggu oleh beberapa anggota Parlimen Arab Israel yang menaikkan sepanduk protes dalam bahasa Arab dan Inggeris bertulis ‘Jerusalem (Baitulmaqdis) adalah ibu negara Palestin’, sebelum mereka di diarahkan keluar oleh pegawai keselamatan.

Walaupun keputusan itu dibantah oleh rakyat Palestin, pentadbiran Trump berkata ia komited untuk membantu Palestin dan Israel mencapai keamanan.

Rundingan tersebut bagaimanapun menemui jalan buntu selama hampir empat tahun.